Wednesday, March 21, 2007

Rashid SPR minta diseret ke mahkamah

Abdul Aziz Mustafa Wed Mar 21, 07 04:37:53 PM
PUTRAJAYA, 21 Mac (Harakah) - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini memberitahu parti politik yang "kurang senang" dengan cara pilihan raya dikendalikan oleh pihaknya supaya membawa suruhanjaya itu ke Mahkamah Pilihan Raya.
"Jika anda kurang senang dengan pilihan raya, maka bawalah ke mahkamah. Ia jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan menyebut apa-apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan pilihan raya perlu diselesaikan oleh Hakim Pilihan raya, oleh mahkamah.
"Saya tidak boleh bertengkar sama ada kami telus atau sebaliknya... ia tak akan habis," katanya pada persidangan akhbar di ibu pejabat SPR di sini.
Beliau menyatakan, tuduhan bahawa pihaknya bersikap tidak telus tidak dibuktikan.
"Kami bersikap telus... mereka (parti politik yang tidak puas hati) perlu memberi contoh (bahawa ketelusan tidak diamalkan oleh SPR)," katanya.
Abdul Rashid berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa parti politik, kebanyakannya pembangkang, bahawa proses pilihan raya di negara ini tidak telus dan boleh dimanipulasi.
"Apa sebenarnya yang kami tidak telus? Semasa kami mengira, mempamerkan keputusan, mengumumkan keputusan dan seterusnya, apa sebenarnya yang kami tidak telus? Segala-galanya boleh dilihat dan dilakukan secara terbuka. Apa yang kami lakukan di pusat pengundian, pusat penjumlahan... adakah kami melakukan muslihat? Tidak, segala-galanya ditentukan oleh pengundi dan bukan oleh SPR," katanya.
Januari lalu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bersumpah dengan kalimah "waLlahi, wabiLlahi, wataLlahi" di Masjid Negara bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang penipuan di dalam pilihan raya.
Beliau juga mencabar Abdul Rashid berdebat secara terbuka dengannya mengenai pengundi hantu.
Malah, Salahuddin menyifatkan pilihan raya di Malaysia adalah yang "paling kotor" sepanjang Abdul Rashid menerajui SPR.
"Kita akan lawan sampai kita dapat pilihan raya yang adil," tegas beliau.
Beliau juga mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai pembohongan Pengerusi SPR itu.
"Kira-kira lima bulan yang lalu, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman (Syed Nawawi), Hanifah Mydin dan saya sendiri berjumpa dengan Abdul Rashid untuk menyerahkan memorandum tiga perkara yang menuntut dibersihkan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan celup jari selepas mengundi untuk mengelakkan penipuan.
"Sebelum kami berjumpa (dengan Abdul Rashid), DAP terlebih dahulu berjumpa dengannya. (Setiausaha Agung) DAP, Lim Guan Eng memberitahu kami bahawa Abdul Rashid telah memberitahu mereka bahawa PAS membantah (sistem) celup jari kerana bertentangan dengan Islam.
"Apabila kami bertemu Abdul Rashid, kami soal dia, betul dia kata begitu? Dia kata bukan PAS kata, ulama India kata. Inilah lidah biawak, lidah bercabang," Salahuddin mengecam Pengerusi SPR itu.

No comments: