Wednesday, March 14, 2007

Kementerian seperti tidak iktiraf kejayaan pelajar Yik

Rizal Tahir Wed Mar 14, 07 07:11:26 PM
KOTA BHARU, 14 Mac (Hrkh) – Kerajaan negeri kecewa terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia kerana seakan-akan tidak mengiktiraf kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan yang mencatat pencapaian 17 1A dan 1 2A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.
Anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, setelah membuat penilaian didapati Siti Fatimah Mukhtar adalah pelajar SPM terbaik peringkat kebangsaan.

Siti Fatimah bersama ibunya, Aishah Mohd keriangan melihat keputusan peperiksaan yang diperolehi tempohari.“Saya kecewa terhadap Kementerian Pelajaran kerana tidak mengiktiraf kejayaan Siti Fatimah hanya kerana beliau belajar di sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik).
“Sedangkan kita memakai sukatan yang sama yang digunakan Kementerian Pelajaran. Oleh itu tidak timbul apa-apa perbezaan antara Kementerian Pelajaran dan Yik,” katanya pada sidang media di Maahad Muhammadi Perempuan di sini, hari ini.
Siti Fatimah, 17 mendapat 17 1A dan 1 2A dalam peperiksaan SPM 2006. Tahun ini kerajaan Pusat tidak mengisytiharkan pelajar terbaik peringkat negara dan hanya mengumumkan keputusan secara umum.
Begitu juga Jabatan Pelajaran Negeri hanya mengumumkan pelajar terbaik di Kelantan mendapat 14 1A. Sedangkan pelajar kedua terbaik di Maahad Muhammadi Perempuan iaitu Nur Atikah Mahassan mendapat 15 1A dan 2 2A.
Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri akan menaja pengajian Siti Fatimah yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara.
“Sebelum ini kerajaan negeri memberi pinjaman kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tetapi oleh kerana kecemerlangan pelajar berkenaan, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberi biasiswa,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan yang dicapai Siti Fatimah membuktikan sistem yang diguna di sekolah Yik mampu menghasilkan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Sementara itu, dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Mohd Amar berkata, seramai 1,399 pelajar Yik mengambil peperiksaan berkenaan tahun lepas dengan kelulusan sebanyak 74.7 peratus.
Maahad Muhammadi Lelaki mendapat keputusan 100 peratus, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan (93.5 peratus) dan Maahad Rahmah Kenali (89.29 peratus).
Manakala kategori sekolah bantuan kerajaan, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqadum Ma’arif (86.79 peratus), SMU A Tarbiah Mardiah (85.42 peratus) dan SMU A Khairiah Padang Pat Amat (84 peratus).
Turut hadir persidangan media itu Pengarah Yik, Haji Ahmad Mahmood dan Ketua Penolong Pengarah Yik (Pengurusan Sekolah), Ustaz Mohamad Ya.

No comments: