Tuesday, March 13, 2007

KWSP bakal tanggung beban hutang RHB bernilai RM3.4 billion - Khalid

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 13, 07 03:56:09 PM
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Pembelian kumpulan perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menimbulkan kebimbangan ramai pihak memandangkan kebajikan sembilan juta rakyat Malaysia adalah dalam tangan KWSP.
Perkara ini harus dilihat dari segi fungsi semulajadi kewujudan KWSP, pengalaman KWSP dalam industri perbankan, prinsip asas pelaburan dan dasar perbankan negara, kata Bendahari KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengulas isu pembelian RHB oleh KWSP semalam.
Menurut Abdul Khalid, pertamanya, pembelian RHB oleh KWSP akan mengalihkan peranan asal KWSP sebagai pengurus dana yang seharusnya memastikan pulangan kepada ahli-ahlinya dalam jangka masa panjang di antara 25 hingga 30 tahun.
"Pada tempoh awal penubuhan KWSP sekitar tahun 50an, KWSP ditetapkan untuk melabur 70 peratus asetnya dalam sekuriti atau bon kerajaan. Ini jelas memperlihatkan sifat semulajadi KWSP yang konservatif, ujarnya.
Menurutnya, sejak tahun 80-an, bon kerajaan berkurangan apabila dasar penswastaan diperkenalkan dan ini menyebabkan KWSP terpaksa mengalihkan pelaburannya ke dalam ekuiti, bagaimanapun, KWSP tetap kekal sebagai pelabur yang pasif.
"Namun sejak tahun 90-an, pelaburan KWSP dalam bon kerajaan telah berkurangan kepada kira-kira 30 peratus manakala pelabuhan ekuiti telah meningkat dari dua peratus pada tahun 1990 kepada 2005 pada tahun 19 peratus.
"Sebagai sebuah badan pengurus dana yang normal, KWSP tidak seharusnya memiliki lebih daripada 10 peratus dalam pelaburan ekuiti. Adalah penting bagi KWSP kekalkan fungsinya semata-matanya melabur dan bukan terlibat dalam pengurusan mana-mana syarikat," tegas beliau.
Khalid berkata, berdasarkan rekod, pelaburan KWSP dalam ekuiti sering menghadapi kegagalan atau mengalami kesukaran dalam tahun-tahun kebelakangan ini, antaranya kerugian teruk dalam pelaburan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).
"Maka mengambilalih kumpulan perbankan tanpa pengalaman perbankan adalah keputusan yang tidak wajar. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Azlan Zainol sendiri pun mengakui bahawa KWSP tidak mempunyai kepakaran dalam industri perbankan," katanya.
Sebagai contoh, pembelian United Malayan Banking Corporation (UMBC) oleh Sime Darby pada tahun 1995 membuktikan gagal dengan beban hutang UMBC selama ini.
Selepas itu katanya, UMBC bertukar ke Sime Bank dan terusnya, kemudian ditanggung oleh kumpulan perbankan RHB selepas pergabungan kedua-dua buah bank tersebut pada tahun 1998.
"Kini hutang tanggungan kumpulan perbankan RHB mencecah RM 3.4 bilion pada Ogos 2006 dan dijangka akan ditanggung oleh KWSP kelak, ujarnya. Beliau berpendapat, meskipun KWSP dapat mengawal RHB melalui pemilikan ekuiti, namun KWSP masih tidak berkeupayaan untuk menguruskan kumpulan perbankan tersebut dengan beban hutang yang begitu besar.
"Dari segi prinsip asas pelaburan, adalah lebih baik untuk melabur dalam pelbagai jenis pelaburan sekiranya ditinjau dari kaca mata pelabur, namun dengan 75 peratus kepentingan dalam RHB, KWSP tidak akan dapat bertindak adil terhadap bank lain dan ini akan meningkatkan risiko KWSP," katanya.
Contohi cara pelaburan Buffet
Khalid yang juga bekas CEO Guthrie mencadangkan agar KWSP mencontohi prinsip dan cara pelaburan Warren Edward Buffett, seorang pelabur berjaya dan orang kedua paling kaya dalam dunia.
Katanya, pendekatan utama Buffet adalah dengan melabur dalam sekuriti bernilai rendah yang menjaminkan pulangan dan tidak campurtangan dalam pengurusan syarikat.
Dengan cara ini katanya, membolehkan KWSP melakukan penjualan atau pertukaran ekuiti tanpa sebarang ikatan.
"Sekiranya kerajaan benar-benar ingin mengurangkan jumlah bank dalam negara untuk meningkatkan persaingan di peringkat antarabangsa berlandaskan dasar perbankan negara, kerajaan tidak seharusnya menggunakan KWSP untuk matlamat ini," katanya.
Bagi Khalid, kerajaan sepatutnya, melalui Bank Negara mengarahkan mana-mana bank dalam negara untuk bergabung dengan kumpulan perbankan RHB seperti yang berlaku pada awal 90-an bagi mencapai matlamat tersebut.
"Jika kerajaan 'berkeras kepala' ingin menggunakan KWSP untuk membeli RHB, nescaya tindakan ini akan menjejaskan hidup berjuta-juta rakyat Malaysia yang menjadi pencarum," katanya tegas.- mr

No comments: