Friday, March 9, 2007

Pelajar lahirkan anak, bukti kajian UKM bukan 'sampah'

Johari Jaafar Sat Mar 10, 07 03:10:21 AM
IPOH, 10 Mac (Hrkh) - Kejadian seorang pelajar tingkatan empat melahirkan anak di bilik rawatan sekolah di sebuah sekolah menengah di Daerah Manjong membuktikan kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung gejala seks bebas di kalangan pelajar adalah benar.
Ini sekaligus menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo, yang menganggap kajian itu sebagai `sampah'.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nur Azli Musa, ketika mengulas kejadian pelajar yang melahirkan anak di sekolah seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini.
"Pemimpin-pemimpin Umno jangan cepat mempertikaikan kajian yang dibuat oleh pihak UKM kerana kejadian pelajar sekolah menengah mengadakan hubungan seks haram sehingga melahirkan anak bukan menjadi rahsia lagi, tetapi sudah banyak kes seumpama itu terjadi," katanya.
Beliau meminta pemimpin atasan Umno prihatin dengan gejala yang sedang melanda remaja masa kini dan jangan mudah mempertikaikan dan memperlecehkan kajian yang telah dibuat.
Beliau kemudiannya memetik laporan sebuah akhbar sebuah akhbar Indonesia `Republika' seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan, memetik kajian yang dibuat agensi Perancang Keluarga Indonesia, mendedahkan hampir 50 peratus remaja perempuan melakukan seks di luar nikah.
Menurut akhbar itu lagi, kajian tersebut dilakukan di lima buah kota besar termasuk Jakarta, Bandong dan Yogyakarta pada tahun 2003 dan bertambah dari tahun ke setahun. "Kajian yang dibuat oleh pihak UKM itu bukan bertujuan untuk menyalahkan remaja semata-mata, tetapi ianya bertujuan mendedahkan betapa seriusnya gejala seks bebas di kalangan remaja", ujarnya . Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato' Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini, turut mempertikaikan hasil kajian itu yang disifatkannya tersasar dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
"Lagi lama gejala seks bebas di kalangan pelajar sekolah tidak dibanteras, lagi ramai pelajar melahirkan anak di sekolah nanti', kata Ustaz Nur Azli.
"Kita tidak dengar ada menteri di Indinesia yang menganggap kajian itu sebagai `sampah' tetapi kenapa Menteri Besar dari Umno boleh bercakap seperti itu?" tanya beliau. - mks.

No comments: