Wednesday, March 7, 2007

Jentolak BN melapah ganas rumah rakyat Kampung Berembang

Anis Nazri Wed Mar 07, 07 05:44:54 AM
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Setelah enam jam 'bertempur' dengan pihak berkuasa polis, FRU dan pemaju, Kampung Berembang akhirnya menjadi 'padang jarak padang tekukur' walaupun mereka penat merayu belas ihsan daripada Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno.
Rumah-rumah dan khemah-khemah di kampung berkenaan musnah dilapah empat buah jentolak pemaju yang mendapat kelulusan Kerajaan BN Selangor, dan kini barang-barang milik penduduk dimuatkan di dalam sebuah lori yang disediakan pihak polis.
Kampung berkenaan yang telah ditutup di semua jalan masuk dengan batu-bata, menyaksikan penahanan enam orang, iaitu Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan bahagian Kelana Jaya, Abdul Razak Ismail, Setiausaha Agung Dema, Lee Huat Seng, termasuk Anuar Maadom, Syed Fasilshah dan Pak Mat.
Abdul Razak dan Anuar kini ditahan di Balai Polis Hulu Kelang dan selebihnya di Balai Polis Ampang, Taman Dagang. Kemungkinan mereka akan ditahan di lokap semalaman dan didakwa di mahkamah, esok.
Turut bersama penduduk kampung untuk memberi sokongan ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Setiausaha Pemuda, Sabki Yusof, dan para aktivis, Arutchelvan, dan Chang Lih Kang.
Lebih 100 pegawai penguatkuasa mengganas
Jika dua hari lepas, rumah-rumah di Kampung Berembang dirobohkan pihak pemaju tanpa pengetahuan pihak polis, tragedi itu kembali berulang dengan kehadiran pasukan polis dan juga FRU, pagi ini.
Bermula jam 8 pagi, kira-kira 200 anggota polis dan FRU mula berkampung di kawasan kampung terbabit bagi 'memberi restu' kepada pihak pemaju meroboh dan menghalau penduduk keluar dari kampung berkenaan, yang telah berkhemah di situ hampir tiga bulan.
Harakahdaily difahamkan, dua antara tiga rumah yang tidak berjaya dirobohkan 5 Mac lalu, telah berjaya dirobohkan pemaju dengan menggunakan jentolak.
Sebuah lagi rumah tidak berjaya dirobohkan kerana penduduk dan para aktivis berkumpul di rumah berkenaan sebagai usaha menghalang pemaju melakukan kekasaran.
Dalam kejadian pagi tadi, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan seorang penduduk telah ditahan polis ketika mempertahankan rumah-rumah tersebut dirobohkan.
Kehadiran Adun Sungai Pinang, Teng Chang Kim, yang juga peguam kepada kebanyakan kes-kes setinggan di sekitar Selangor, membangkitkan semangat penduduk untuk mempertahankan kampung mereka.
Harakahdaily juga dimaklumkan, Teng bertindak mengadakan rundingan dengan pihak polis untuk menangguhkan perobohan ini sehingga kes ini dibicarakan di mahkamah, 14 Mac ini. - mks/mr

No comments: