Friday, March 9, 2007

Kes bunuh Altantuya dpercepatkan 4 Jun, hakim ditukar

Harakahdaily Fri Mar 09, 07 07:04:15 AM
SHAH ALAM, 9 Mac (Hrkh) - Perbicaraan kes bunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah dipercepatkan untuk didengar di hadapan seorang Pesuruhjaya Kehakiman pada 4 Jun tahun ini.
Menurut laporan Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Mohd Zaki Md Yasin yang mengambil alih kes itu daripada Hakim Dato' K.N. Segara, menetapkan tarikh baru itu selepas kes itu dikemukakan untuk sebutan hari ini. Beliau menetapkan tempoh perbicaraan selama sebulan dari 4 Jun hingga 29 Jun.
Mahkamah Tinggi yang sama sebelum ini menetapkan empat minggu dari 10 Mac tahun depan bagi perbicaraan kes itu kerana mahkamah itu mempunyai terlalu banyak kes tertunggak.
Mohd Zaki berkata perbicaraan kes itu telah dipercepatkan berikutan pelantikan tiga Pesuruhjaya Kehakiman yang baru untuk membicarakan kes jenayah yang tertunggak di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Katanya kes itu dipindahkan kepada beliau kerana Segara mempunyai banyak kes yang telah dibicarakan separuh jalan berbanding bilangan kes yang dikendalikan oleh beliau.
Abdul Razak Baginda, 46, penganalisis politik dituduh bersubahat dengan dua anggota polis unit tindakan khas dalam kes pembunuhan Altantuya.
Kes itu mendapat publisiti meluas berikutan penemuan cebisan mayat wanita berusia 28 tahun itu di kawasan hutan di Puncak Alam di sini pada November tahun lepas.
Mayat wanita itu telah diletupkan dengan bahan letupan. Abdul Razak, dituduh melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Okt tahun lepas, di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
C/Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh wanita itu di Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt tahun lepas.
Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Abdul Razak kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan itu selepas beberapa cubaannya untuk dilepaskan dengan ikat jamin atas alasan kesihatan ditolak oleh mahkamah.
Mohd Zaki menjelaskan kesemua tiga tertuduh tidak dibawa ke mahkamah bagi prosiding hari ini kerana hari ini hanya ditetapkan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

No comments: