Sunday, March 11, 2007

Yayasan Amal terima sumbangan van 'Klinik Bergerak'

Azamin Amin Mon Mar 12, 07 12:17:20 PM
KLANG, 12 Mac (Hrkh) - Yayasan Amal Malaysia (Amal) melakarkan satu lagi sejarah apabila menerima sumbangan sebuah van 'Klinik Bergerak' daripada sebuah badan korporat, Pantai Baharu Holdings baru-baru ini untuk digunakan bagi merawat dan memeriksa kesihatan masyarakat setempat.
Satu majlis pelancaran Klinik Bergerak Amal telah diadakan semalam di Flat Seri Perantau, Klang yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Selangor, Dr Rahimah Mohd Ariffin bersama Penasihat Amal, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Turut hadir dan memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pengerusi Amal, Haji Hussin Ismail; Timbalan Amal, Jamulidin Elias;Ketua Biro Perubatan dan Kesihatan Amal, Dr Halimah Ali Abdullah, Pengerusi Penduduk Flat Seri Rantau dan kehadiran orang ramai khususnya penduduk flat tersebut yang amat membanggakan.
Dr Rahimah dalam ucapannya amat menghargai kerjasama yang dilakukan oleh Amal selama ini yang banyak membantu pihak Kementerian Kesihatan dalam membantu sepenuhnya dari sudut memantau, mencegah dan merawat penduduk-penduduk Selangor khususnya rakyat yang tidak berkemampuan.
Dengan adanya 'klinik bergerak' ini, katanya dapatlah perkhidmatan kesihatan sampai terus kepada masyarakat dan bagi rakyat miskin tidak lagi perlu bersusah payah untuk ke klinik apatah lagi yang jauh lokasinya.
"Saya memang pernah dengar tentang Amal tapi sangat sedikit tetapi hari ini saya telah mendapat maklumat yang banyak tentangnya,"katanya ketika berucap.
"Dan saya berterima kasihlah atas usaha yang dilakukan oleh Amal selama ini dan amat menghargai khidmat masyarakat yang bakal dilakukan melalui klinik bergerak dan semoga usaha ini diteruskan lagi," katanya lagi.
Katanya klinik bergerak ini sangat dialukan dan seiring dengan harapan Menteri Besar Dato' Seri Khir Toyo supaya diperbanyakkan klinik bergerak di negeri ini dan beliau sendiri akan memaklumkan kepada MB Selangor berkaitan gerak kerja Amal dan klinik bergerak ini supaya kerajaan Selangor dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada kegiatan ini.
Dalam pada itu,Haji Hussin dalam ucapannya berkata walaupun Yayasan Amal Malaysia baru menjangkau 6 tahun namun penerimaan dan kepercayaan masyarakat amatlah menggalakkan dan semua ini semakin mematangkan Yayasn Amal dalam memebri khidmat masyrakat yang lebih baik lagi di masa akan datang.
Amal selama ini telah berjaya meneruskan misi bantuan ke manusiaannya ke beberapa negara seperti memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Iran dan Pakistan, Tsunami di Acheh dan Sri Lanka, gempa bumi di Jogjakarta dan mangsa perang di Lubnan.
"Di Acheh dan Jogjakarta, atas sumbangan orang ramai, Amal sudah berjaya menyiapkan rumah yatim yang berharga hampir RM400,000 dan masjid berjumlah RM250,000 untuk pendudk di sana," katanya lagi.
Majlis pelancaran tersebut turut mengadakan pelbagai aktiviti antaranya pemeriksaan percuma untuk darah, ujian HIV, gigi dan tekanan darah,
Selain itu turut diadakan ialah pameran berkaitan kesihatan seperti langkah-langkah pencegahan menangani wabak Denggi dan AIDS serta koleksi gambar-gambar gerak kerja Yayasan Amal di Jogjakarta dan Lubnan.
Sehingga kini, menurut risalah Amal, terdapat 50 doktor, 20 paramedik dan 200 sukarelawan sama ada dari kerajaan mahupun sektor swasta yang yang menyumbangkan khidmat masyarakat di bawah Yayasan Amal.
Selain itu, Amal masih lagi mengalu-alukan keterlibatan orang ramai untuk menjadi sukarelawan dan meyumbangkan dana demi mencapai matlamat Amal seperti yang dilafazkan iaitu "Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah."
Turut menarik perhatian ialah acara cabutan bertuah dan pertandingan kanak-kanak yang menyediakan pelbagai aneka jenis hadiah dan acara tersebut mendapat sambutan hampir 50 orang peserta kanak-kanak.
Di samping itu, Perkim turut menyumbang sebanyak 150 bungkusan yang terdiri daripada bihun,biskut dan sebagainya untuk diagihkan kepada penduduk flat tersebut secara rambang tanpa mengira apa jua latar belakang agama dan bangsa.
Orang ramai dan penduduk kelihatan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan percuma apabila berpusus-pusu ke kaunter pendaftaran yang telah dibuka sejak jam 9 pagi hinggalah ke 1 tengahari.
Bagi orang ramai yang prihatin dan berminat untuk menyumbangkan wang kepada misi Yayasan Amal Malaysia bolehlah berbuat demikian dengan menulis cek berpalang ataupun menyumbang terus ke akaun Maybank Berhad No Akauan : 553010122090 atas nama YAYASAN AMAL MALAYSIA. - mks.

No comments: