Wednesday, March 7, 2007

Sambutan hangat NGO bukti Bersih diiktiraf,diyakini

Intan Abdullah Thu Mar 08, 07 04:28:55 AM
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Pertambahan bilangan NGO yang menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah satu petunjuk bahawa matlamat dan hala tujunya jelas memberi manfaat kepada masa depan negara yang lebih baik.
Pada peringkat awal pembentukannya, sebanyak 26 NGO telah bergabung bagi menjayakan tuntutan yang telah dikemukan oleh Bersih, dan kini jumlah itu meningkat kepada 64 NGO termasuk beberapa parti politik.
Jumlah penyertaan yang semakin mendapat sambutan ini jelas sebagai satu isyarat bahawa Bersih telah berjaya membuktikan betapa reformasi pilihan raya yang ingin diperjuangkan dan mesejnya telah dapat diterima oleh umum.
Hal tersebut dinyatakan oleh AJK Bersih, Dr Dzulkifli Ahmad ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam.
Menurut beliau Bersih kini sedang merancang untuk mempergiatkan program "Training for Activist Reformacy" bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengundi sepertimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan.
"Kami akan melatih mereka untuk memahami keperluan-keperluan asas agar mereka sedar peranan dan hak mereka dalam usaha bagi memastikan reformasi pilihan raya berlaku.
"Rakyat harus bertindak atas pengetahuan dan kesedaran dengan maklumat dan kuasa pengetahuan yang ada dan itulah tujuan utama kami iaitu supaya rakyat mendapat kebaikan dan keuntungan pada masa akan datang,"jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkifli juga menegaskan bahawa media juga perlu diberi keadilan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat seterusnya berperanan dalam memperjelaskan landskap pilihan raya Malaysia yang sebenar.
Tambah beliau, rakyat perlu mendapat hak mereka dengan menggunakan sistem dan instrumen yang telus dan adil bagi memastikan kesilapan yang lama tidak akan berulang lagi.
Ini adalah syarat yang perlu bagi mereka(parti politik) untuk menyertai pilihan raya yang akan datang,katanya.
Beliau sebelum itu telah menghadiri satu persidangan meja bulat membentangkan deklarasi Bersih yang telah dijalankan tengah hari semalam di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Turut hadir ialah Setiausaha DAP, Theresa Kok; Naib Presiden PKR, Sivarasah dan wakil-wakil daripada NGO serta parti politik yang terlibat. - mks.

No comments: