Friday, March 9, 2007

Janji tinggal janji, pemimpin Umno berbohong pada rakyat

Hashim Abdullah Fri Mar 09, 07 02:29:14 AM
TEMERLOH, 9 Mac (Hrkh) - Tindakan beberapa pemimpin Umno negeri termasuk Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob yang telah menabur janji sebelum pilihan raya umum 2004 kononnya akan menunaikan apa jua permintaan penduduk jika sekiranya mereka menang pada pilihan raya tersebut sebenarnya pembohongan kerana sehingga kini apa yang dijanjikan tidak dikotakan.
Nasib malang yang menimpa penduduk Kampung Paya Kecik, dekat sini yang kononnya Umno akan melaksanakan beberapa kemudahan infrastruktur termasuk jambatan konkrit, padang bola sepak dan dewan serbaguna tidak kesampaian sebaliknya pembohongan dijangkakan berterusan kerana mereka akan datang lagi menabur janji memandangkan tempoh pilihan raya umum yang semakin hampir.
Menurut penduduk, setelah janji pemimpin Umno bagi menyelesaikan masalah tanah perumahan Busut Jin masih tidak kesampaian sejak puluhan tahun mereka dukacita pemimpin Umno suka mempermainkan rakyat.
"Kita merayu rakyat berani membuat perubahan pada pilihan raya akan datang kerana dengan cara itu sajalah pemimpin Umno boleh belajar erti kebencian rakyat terhadap pembohongan yang dilakukan selama ini,” kata mereka dalam pertemuan dengan Harakah bersama penduduk di kampung tersebut, baru-baru ini.
Bagi Zainuddin Mohd Nor,38, beliau kesal kerana janji yang dibuat pemimpin Umno termasuk Menteri Besar kononnya akan memberi apa saja permintaan penduduk setelah kemenangan pilihan raya diperolehi tidak menjadi kenyataan.
“Sebelum pilihan raya umum dulu, dia datang buat janji. Itu dari mulut dia. Penduduk minta jambatan konkrit, dewan serbaguna, padang bola sepak. Dia kata boleh beri apa saja kalau menang pilihan raya. Tapi dah nak pilihan raya semula benda itu tak dapat, macam menipu aja,” katanya.
Sementara itu, Alias Abdul Hamid, 68, mahukan rakyat menolak Umno pada pilihan raya akan datang kerana pemimpinnya suka membuat bohong.
“Kalau kampung ini, entah berapa kali kena tipu, apa nak tunggu lagi, buatlah perubahan baru mereka sedar sikit. Kalau takut buat perubahan jangan marah kena bohong. Mereka nampak kita orang bodoh, jangan gaduhlah,” katanya.
Sementara itu dalam tinjauan Harakah mendapati jambatan yang dimaksudkan penduduk agar dibina konkrit adalah sebuah jambatan berlantaikan kayu yang dialas besi berada dalam keadaan unzur dan membahayakan penguna. - mks.

No comments: