Tuesday, March 6, 2007

Sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arus

Sahar Abdul Majid Wed Mar 07, 07 12:39:43 AM
TAWAU, 7 Mac (Hrkh) – Rakyat berbilang kaum di Sabah digesa menilai kembali kewibawaan dan ketelusan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak lebih sedekad gabungan parti berkenaan memerintah negeri ini.
Ini memandangkan, sejak selepas merdeka taraf hidup masyarakat Bumiputera di negara ini khususnya Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah masih berada pada tahap yang rendah dengan penguasaan ekonomi sekitar 30 peratus berbanding kaum lain.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Salahuddin Ayub dalam sidang medianya selepas menyempurnakan perasmian 'Majlis Ramah Mesra Pasti Kawasan Tawau' di sebuah hotel terkemuka dekat sini kelmarin.
Turut sama dalam sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Sabah Hj Muhammad Abdullah dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Ustaz Anuar Ali.
Beliau menegaskan sudah sampai masanya rakyat Sabah melakukan perubahan politik sekali lagi pada pilihan raya akan datang berikutan kegagalan Umno dan BN menaiktarafkan kehidupan rakyat berbilang kaum terutama dari segi ekonomi, infrastruktur dan pendidikan.
“ Bagi PAS dan juga tidak ketinggalan rakan-rakan dalam BA iaitu Parti Keadilan Rakyat mempunyai agenda nasional bagi memastikan hak rakyat terus terbela,"katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan menjelaskan, walaupun beliau wakil rakyat PAS dari Kelantan, namun beliau terus menyuarakan hak dan kepentingan rakyat semua kaum semasa perbahasan di parlimen termasuk banyak menyentuh isu-isu yang berlaku di Sabah.
“Kami bukanlah parti kampungan seperti yang didakwa tetapi kami mempunyai visi dan misi yang jelas untuk semua kaum tanpa mengira apa bangsa dan latar belakang mereka,”tegas beliau.
Bahkan kata Salahuddin lagi, wakil-wakil rakyat dari Sabah sendiri mengakui banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan untuk membangunkan rakyat Sabah pada tahap yang lebih baik terutama dalam soal pendidikan, infrastruktur dan ekonomi Bumiputera.
Katanya, tidak hairanlah kiranya Sabah terus direkodkan sebagai sebuah negeri yang termiskin di Malaysia berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung termasuk Kelantan yang diperintah oleh PAS.
Sehubungan dengan itu katanya, bertapaknya PAS dan BA di Sabah sebagai ‘pengimbang’ kepada kuasa Umno dan BN bagi memastikan rakayat mendapat keadilan yang sewajarnya.
Beliau turut yakin dengan perkembangan dan senario politik yang berlaku ketika ini, rakyat Sabah akan melakukan perubahan politik sekali lagi kepada parti pembangkang.
“Bertukar kerajaan adalah suatu perkara biasa bagi rakyat Sabah, dan saya yakin berdasarkan maklumat yang diperolehi rakyat, akan melakukannya pada pilihan raya umum kali ini,” ujar salahuddin lagi.
Ketika ditanya mengenai penerimaan rakyat Sabah terhadap PAS, beliau berkata selepas hampir dua dekad PAS berada pada tahap yang amat memberansangkan terutama sokongan masyarakat Bumiputera Islam
Dalam hal ini beliau melahirkan rasa kagum apabila sokongan rakyat terutama golongan muda semakin meningkat bahkan ketika ini PAS dipimpin oleh golongan profesional tempatan sendiri.
“Saya amat yakin dengan perkembangan positif ini PAS akan menjadi pesaing kepada Umno dan BN dalam gelanggang politik Sabah suatu ketika nanti,” tambahnya. - mks.

No comments: