Monday, April 2, 2007

Rasuah: Rakyat sudah bosan, Abdullah hanya bermain slogan

Intan Abdullah Sun Apr 01, 07 03:57:11 PM
KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Rakyat ketika ini sudah bosan. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ini dilihat hanya mampu pandai bermain slogan tanpa sebarang tindakan untuk memerangi jenayah rasuah.
Demikian luahan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub apabila dihubungi oleh Harakahdaily untuk mengulas mengenai kenyataan Abdullah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil semalam.
Abdullah dalam majlis semalam berucap bahawa,"insan yang cemerlang akhlaknya dan berupaya menghindari apa jua gejala rasuah, mempunyai integriti yang membolehkan kita mencapai Misi Nasional dan menjadikan ummah serta negara ke tahap yang terbilang."
Menurut Salahuddin, Pemuda PAS mendesak Abdullah supaya tidak terus bermain slogan kerana rakyat telah bosan menunggu selama tiga tahun untuk melihat 'cakap' beliau tersebut direalisasikan ke dalam bentuk tindakan yang efektif, namun setakat ini tiada agenda yang drastik telah dibuat.
Beliau turut menggesa agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberikan kuasa untuk berperanan dalam proses mendakwa individu terbabit kerana selagi mana BPR masih bergantung dengan Jabatan Perdana Menteri dalam sebarang tindakan mereka, maka ia akan menyukarkan proses siasatan dan dakwaan dijalankan bagi membanteras rasuah.
"Sekurang-kurangnya tindakan tersebut akan memberi harapan kepada semua pihak dalam usaha mengatasi masalah ini," ujarnya
Tambah beliau negara-negara maju lain seperti Sweden dan Finland telah membuktikan bahawa ia boleh dilakukan sehingga mendapat anugerah UNDP oleh International Transparency, yang mengiktiraf negara tersebut kerana memiliki indeks rasuah yang rendah.
Dalam pada itu, Salahuddin melahirkan kebimbangan terhadap keadaan negara yang terus berada dalam korupsi yang parah ini akan menerima nasib sama seperti yang dialami oleh Thailand sebelum ini.
Zulkifli tak layak
Sementara itu, dalam kenyataan yang lain Salahuddin turut menyelar kenyataan Ketua Pengarah BPR,Dato' Zulkifli Mat Noor yang tidak disambung kontraknya oleh kerajaan hari ini bahawa, beliau telah melaksanakan tanggungjawab pada tahap terbaik.
Katanya, Zulkifli tidak layak untuk memberi komen terhadap prestasi beliau sendiri.
Menurut beliau rakyat tidak boleh menerima pandangan beliau setelah apa yang telah berlaku kerana secara tidak langsung beliau telah mencalarkan integriti BPR selaku badan yang berperanan memerangi jenayah tersebut.
Salahuddin menegaskan bahawa langkah Abdullah untuk tidak menyambung kontrak Zulkifli disifatkan sebagai tindakan yang tepat walaupun ianya agak lambat daripada yang sepatutnya ia dilaksanakan.
Sungguhpun begitu, ia bukanlah bermakna dakwaan yang dikenakan ke atas beliau akan diabaikan begitu sahaja setelah kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah BPR tidak diteruskan, katanya tegas.
"Mungkin keadaan selepas ini akan memudahkan lagi siasatan untuk dijalankan oleh pihak berkuasa,"tambah beliau
Zulkifli mula dilantik secara pinjaman sebagai Ketua Pengarah BPR mulai 1 April 2001 hingga 31 Mac 2003.
Pelantikan pinjaman beliau dilanjutkan sebanyak tiga kali iaitu dari 1 April 2003 hingga 31 Mac 2004, dari 1 April 2004 hingga 31 Mac 2005, dan dari 1 April 2005 hingga 19 Julai 2005 apabila beliau bersara wajib.
Ketika ditanya oleh wartawan sama ada penamatan kontrak tersebut mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah ke atasnya, Zulkifli berkata "Tiada kena-mengena langsung. Siasatan telah pun berjalan sebelum kontrak tamat, so please don't speculate anything,saya sentiasa beri kerjasama yang sepenuhnya kepada polis."
Bekas pengarah BPR Sabah, Mohamed Ramli Abdul Manan tahun lepas membuat dakwaan terhadap Zulkipli termasuk mengamalkan rasuah, memiliki harta dan aset secara tidak sah.
Dakwaan itu termasuk Ketua Pengarah BPR itu memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk memiliki enam buah rumah di Pagoh, Johor yang tidak sepadan dengan sumber pendapatan serta menyalahgunakan kenderaan kerajaan. - mks.

No comments: