Wednesday, March 7, 2007

Tian Chua direman atas cubaan membunuh di Kampung Berembang

Azamin Amin Thu Mar 08, 07 07:05:20 AM
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Majistret Mahkamah Ampang Jaya, Nurul Husna Awang hari ini melanjutkan tahanan reman selama dua hari lagi terhadap Ketua Penerangan Parti Rakyat Keadilan (PKR), Tian Chua atas cubaan membunuh.
Reman itu dilanjutkan berikutan siasatan terhadap Tian yang didakwa memandu kereta Toyota Camry miliknya merempuh sekatan dan hampir melanggar seorang lelaki di Kampung Berembang, Ampang.Lelaki tersebut dipercayai pekerja daripada syarikat pemaju yang berada di kawasan tersebut ketika itu.
Setiausaha Suaram, Chang Li Kang berkata seorang lagi yang dilanjutkan tahanan reman ialah penduduk Kampung Berembang, Syed Fasilshah Ghazali yang didakwa menghalang penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Polis.
"Kedua-duanya kini ditahan di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya," katanya ketika dihubungi Harakhadaily.
"Dan tuduhan terhadap Tian adalah disebabkan laporan polis yang dibuat oleh syarikat pemaju, kononnya Tian cuba melanggar pekerjanya yang menghalang jalan," katanya.
Beliau yang sedih dan kecewa dengan kejadian itu mempersoalkan sikap polis yang disifatkan melindungi pemaju dan bersikap terpilih dalam pendakwaan mereka daripada menjaga keselamatan orang ramai.
Sedangkan katanya kes Kampung Berembang masih dalam proses mahkamah dan akan diputuskan pada 14 Mac akan datang di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
"Operasi yang dilakukan oleh Polis dan pemaju semalam ternyata adalah operasi haram," katanya
"Dan ini telah dinyatakan oleh tiga peguam yang hadir pada kejadian semalam," katanya lagi
Semalam, kira-kira 200 anggota polis dan FRU bertindak kasar untuk memudahkan pihak pemaju meroboh dan menghalau penduduk keluar dari kampung berkenaan, yang telah berkhemah di situ hampir tiga bulan.
Turut hadir sama tiga orang peguam iaitu Teng Chan Kim (Adun Sungai Pinang), Lateefah Koya dan Edmund Boon.
"Sebelum ini telah banyak laporan polis yang telah dibuat kerana kekasaran dan tindakan haram yang dilakukan oleh pihak pemaju dan kumpulan 'gengster' terhadap penduduk di sini, namun tiada sebarang tindakan dilakukan oleh polis.
"Tetapi bila ada satu sahaja laporan terhadap Tian, terus sahaja ditangkap. Ini menunjukkan polis bertindak selektif," katanya lagi.
Menurut Chang, beberapa laporan polis telah dibuat berikutan kejadian 'kasar dan ganas' semalam dan salah satunya telah dibuat di Balai Polis Hulu Kelang.
Hari ini tinjauan mendapati,jalan masuk ke Kampung Berembang telah ditutup sepenuhnya dengan zink untuk menghalang para penduduk memasuki kawasan tersebut termasuk meletakkan kandang seekor anjing untuk menakutkan penduduk yang dilabel sebagai 'penceroboh' dan 'pendatang'.
Di luar kawasan terdapat beberapa buah khemah yang uzur menempatkan para penduduk yang hilang tempat tinggal mereka akibat daipada perobohan itu dan sekurang-kurangnya 60 keluarga yang masih bertahan di kawasan terbabit.
Lebih 30 kanak-kanak dan remaja terpaksa ponteng sekolang akibat daripada kejadian tersebut malah ada di antaranya sudah masuk lebih seminggu tidak bersekolah. - mks.

No comments: