Saturday, March 10, 2007

Gantung tugas Johari Baharom, tarik balik kuasanya

Nyza Ayob Sat Mar 10, 07 05:54:16 AM
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Hrkh)- PAS menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menarik balik kuasanya yang diserahkan kepada Dato' Mohd Johari Baharom di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Setiausaha Agung PAS, Dato'Kamarudin Jaafar berkata, PM sepatutnya menggantung tugas Johari sebagai Timbalan Menteri kerana kes yang dilakukan begitu serius sehingga menjejaskan keselamatan negara.
Beliau menegaskan demikian, dalam sidang akhbar selepas Perasmian Persidangan ICT 2007 anjuran Lajnah ICT PAS di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar sebentar tadi.
Tambahan pula katanya, dua daripada suspek yang didakwa dibebaskan Johari yang dikatakan menerima rasuah sebanyak Rm5.5 juta sudah ditangkap semula bagi membantu siasatan polis.
Tegasnya, kes membabitkan Johari dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Zulkipli Mat Noor yang terlibat dalam tuduhan rasuah dan jenayah merupakan suatu yang amat serius.
Beliau melahirkan kekesalannya, kerana Abdullah tidak menunjukkan ketegasannya terhadap kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu.
"Kita tidak bersetuju dengan kenyataan Abdullah, mereka yang terlibat dalam kes ini tidak perlu digantung kerja.Dan tuduhan rasuah tersebut oleh bekas pegawai kanan BPR sendiri. Dalam kes Mohd Johari, ia jelas menjejaskan keselamatan dalam negeri.
"Mana hujah PM bahawa tugas dan kedudukannya tidak terjejas. Jika kesalahannya hanya kesalahan biasa seperti kesalahan trafik, itu mungkin tidak menjejaskan tugasannya.Dalam kes ini sudah pasti kedudukannya terjejas dan kita minta agar beliau digantung daripada tugas.Penangkapan dua daripada tiga penjenayah yang terlibat dalam kes ini untuk disoal siasat menunjukkan kes ini memang jelas wujud," katanya.
Abdullah dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan akan mengambil sikap lebih berwaspada bagi mengawasi perlakuan penjawat-penjawat awam kanan, supaya tidak terlibat dalam sebarang kesalahan moral dan jenayah adalah tidak bertanggung jawab.
Bagaimanapun dalam isu berkaitan, terdahulu dalam kenyataan berasingan beliau menyatakan kedua-dua pegawai yang terlibat tidak akan digantung daripada tugasan masing-masing. - mr

No comments: