Monday, March 26, 2007

Usaha jatuhkan Kelantan, sindiket cari 'pengundi hantu' mula berkeliaran

Basiron Abdul Wahab Mon Mar 26, 07 02:53:58 PM
KUALA ROMPIN, 26 Mac (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Mejar (B) Abdul Aziz Yaakub mendedahkan wujudnya kegiatan memancing pengundi di Pahang untuk didaftarkan sebagai pemilih dan akan mengundi di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, sindiket yang menguruskan 'pengundi import' itu turut menawarkan ganjaran wang tunai sehingga RM300 kepada mana-mana individu yang mahu mengundi di negeri itu.
Katanya, beliau memperolehi maklumat daripada sumber penduduk di kawasan pedalaman tentang wujudnya sindiket ini yang bergerak aktif di kalangan masyarakat Melayu berketurunan Kelantan.
Difahamkan antara kriteria pengundi import ialah kemampuan bertutur dalam dialek Kelantan serta mempunyai saudara mara di negeri itu. Ini dipercayai untuk mengelakkan kehadiran pengundi import tidak terlalu ketara serta sukar dikesan agen parti lawan pada hari membuang undi kelak.
Taktik sama dipercayai telah diguna oleh Barisan Nasional (BN) dengan jayanya di Terengganu dalam pilihan umum 2004 lalu yang menyumbang kejatuhan kerajaan PAS di negeri itu. Kini taktik sama cuba diguna di Kelantan untuk menjatuh kerajaan PAS Kelantan pula.
Dipercayai ramai masyarakat berketurunan Kelantan tinggal di Pahang serta negeri-negeri lain dan mereka ini dipercayai menjadi sasaran sindiket itu dan berpotensi untuk didaftarkan sebagai pemilih di Kelantan seterus mengundi dalam pilihan umum akan datang.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung kali ke- 20 PAS Kawasan Rompin di Kampung Sepakat, dekat sini, Abdul Aziz mengingat ibu bapa khususnya ahli PAS supaya memastikan tiada anak mereka tercicir dari daftar pemilih.
Katanya, ibu mesti proaktif mendaftarkan anak mereka seberapa segera yang boleh bagi memboleh mereka menjadi pemilih menjelang pilihan umum ke-12 yang dijangka akan berlangsung dalam tahun ini.
Menurutnya mendaftar sebagai pemilih adalah langkah awal untuk menyertai proses pilihan raya kerana di dalam sistem pilihan raya di Malaysia , seseorang warga negara tidak diiktiraf secara automatik menjadi pemilih.
Untuk menjadi pemilih, wajiblah mendaftarkan diri dengan Suruhan Jaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) terlebih dahulu.
Sebelum itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Shukri Ahmad berkata kekuatan dan kelemahan parti terletak di tangan ahli.
Katanya, ahlilah yang mengukuhkan parti dan ahli jugalah yang melemahkan parti justeru beliau mengajak semua ahli berusaha mengukuhkan parti.
"Kitalah menentukan keutuhan dan kelemahan parti, justeru tiada sebab untuk tuduh menuduh apabila parti lemah, kita sama-sama bertanggungjawab terhadap parti," ujarnya.
Pada majlis itu, waris bekas Bendahari PAS Rompin, Ismail Mat Isa yang meninggal dunia pada 8 Desember 2006 akibat kemalangan jalan raya di Slim River, Perak menerima manfaat Takaful bernilai RM20,000.
Ismail menyertai program Dana Taqwa anjuran Badan Perhubungan PAS Pahang pada tahun 2005. Cek tersebut disampaikan oleh Mejar (B) Abdul Aziz Yaakub kepada anak Allahyarham, Khairil Anuar Islam. - mks.

No comments: