Wednesday, March 7, 2007

Ketandusan pemimpin, lenyapkan impian Umno Kelantan - Anwar

Salmah Mat Husain Wed Mar 07, 07 10:51:12 AM
KOTA BHARU, 7 Mac (Hrkh) – Faktor Umno Kelantan ketandusan pemimpin berwibawa dan prestasi memberangsangkan kerajaan negeri sekarang dianggap boleh melenyapkan impian parti itu menawan negeri ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno juga tidak memperlihatkan keupayaannya menangani masalah rakyat termasuk pembahagian ekonomi secara adil.
“Sebab itu saya lihat keupayaan Umno tidak ada, apatah lagi Umno Kelantan tidak mampu memperkukuhkan kekuatan dari segi akhlak atau peribadi pemimpin mereka.
“Sedangkan ciri-ciri yang dikehendaki rakyat berjaya ditonjolkan PAS sekarang. Ini menyebabkan saya berkeyakinan PAS akan terus mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya selepas mengunjungi hormat Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
Pertemuan itu berlangsung hampir sejam dalam kunjungan tidak rasmi Anwar ke Kelantan. Pada sebelah petang beliau merasmikan Pejabat Penyelia Parlimen Tanah Merah dan perjumpaan tertutup dengan penduduk di Jeli.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat berkata, usaha kerajaan Kelantan mewujudkan skim Takaful Kifaalah dianggap sebagai langkah yang cukup baik dan positif.
“Saya percaya rakyat Kelantan akan dapat menilai kepimpinan kerajaan negeri dan PAS kerana banyak program menarik yang diketengahkan memberi faedah secara langsung kepada mereka,” ujarnya.
Ditanya pelawaan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu katanya, cadangan itu disambut baik.
Menurutnya, beliau bersedia menerima cadangan bertanding di Parlimen Kota Bharu sekiranya dibolehkan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya ucapkan terima kasih banyaklah, cuma saya kena bincang dengan Presiden Keadilan terlebih dahulu. Bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk diperkatakan,” ujarnya.
Menurutnya, tawaran tersebut menunjukkan suatu pakatan yang baik di samping menggambarkan keikhlasan pemimpin PAS.
Baru-baru ini, Wan Abdul Rahim berkata, Anwar mempunyai pengaruh yang kuat di Kelantan dan penduduk menghargai sekiranya beliau bertanding di Kota Bharu.

No comments: