Friday, March 23, 2007

Jalan raya bertingkat di Pasir Mas jadi kenyataan

Maslan Yusoh Thu Mar 22, 07 08:06:01 PM
PASIR MAS, 22 Mac (Hrkh) – Kerajaan negeri membuktikan janji kepada rakyat bagi membina jalan raya bertingkat melintasi landasan kereta api di sini pada pilihan raya kecil Disember 2005, kini dilaksanakan.
Petang tadi upacara pecah tanah bagi membina jalan tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan disaksikan ribuan penduduk tempatan yang hadir.
Majlis penuh bersejarah itu akan memberi wajah baru kepada bandar Pasir Mas yang sebelum ini sesak terutamanya pada musim perayaan.
Jalan raya dua lorong itu melibatkan kos RM15.56 juta dibina Kelkon Sdn Bhd anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui dua fasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, projek pembinaan jambatan itu bermula 15 Mac lalu dan dijangka siap 14 Mac 2009.
“Fasa 1 melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan dan fasa kedua jalan jajaran menghala ke jambatan. Kita yakin Kelkon Sdn Bhd mampu menyiapkan projek ini mengikut jadual,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pecah projek tersebut.
Md Anizam juga berkata, pada April ini jalan baru yang menghubungkan Pasir Hor dan Jalan Telipot sepanjang dua kilometer akan dibuka sepenuhnya.
Katanya, jalan baru itu yang melibatkan kos RM3 juta merupakan jalan alternatif dari Pasir Hor ke Jalan Telipot.
Manakala jambatan lain yang akan dibina tahun ini termasuk di Kampung Seribong, Kuala Balah merentangi Sungai Pergau, Jambatan Kampung Kelewek di Tanah Merah, jambatan Pondok Mengkebang di Kuala Krai dan Jambatan Kampung Derdap, Seterpa, Kota Bharu.
Anggota Exco terbabit berkata, kesemua projek tersebut melibatkan kos RM1.4 juta.
Mengulas kononnya ada pihak lain yang ingin membina jejantas bertingkat sekiranya kerajaan negeri tidak mampu membinanya kata beliau, pihak terbabit sepatutnya menyiapkan terlebih dahulu tiga jambatan yang terbengkalai di Pasir Mas sekarang.
“Sepatutnya mereka memastikan jambatan yang sudah dibina itu disiapkan terlebih dahulu. Jambatan itu dikendalikan sebuah syarikat telah terbengkalai sejak lebih setahun.
“Masalahnya berpunca daripada kontraktor dan bukannya JKR. Projek ini dijalankan di bawah peruntukan kerajaan Pusat. Jambatan tersebut iaitu di Gertak Serong di Tendong, Bukit Panau dan Lemal, ia melibatkan kos sebanyak RM7.4 juta,” tambahnya.
Katanya, projek terbengkalai itu mendatangkan kesulitan kepada orang ramai terutamanya pada musim perayaan kerana sering kali berlaku kesesakan.
“Oleh itu kita berharap pembinaan jambatan itu dipercepatkan. Jambatan itu dimulakan pada 2005 dan sekarang sepatutnya sudah siap,” katanya.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, jalan raya bertingkat itu akan memberi manfaat kepada penduduk untuk berulang alik ke bandar apabila siap sepenuhnya

No comments: