Monday, March 26, 2007

Timbalan Presiden Keadilan - Azmin mungkin timbang semula hasrat berundur

Salmiyah Harun Mon Mar 26, 07 04:11:24 PM
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Naib Presiden Keadilan, Mohamed Azmin Ali berkemungkinan akan menimbang semula keputusan pengundurannya daripada bertanding Timbalan Presiden dan sebarang jawatan Parti Keadilan Rakyat, pada pemilihan tahun ini, akibat desakan banyak pihak.
Azmin dalam temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya di Taman Tun Dr Ismail hari ini, beliau bagaimanapun akan merundingkan perkara tersebut dengan banyak pihak terutamanya dengan Penasihat Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya sama ada beliau akan mengubah keputusan tidak bertanding, Azmin berkata beliau mempunyai tempoh untuk berfikir sehingga bulan Mei dan akan menyerah sahaja kepada apa keputusan perbincangan dengan penasihat parti itu.
Secara rasminya pada 23 Mac lepas, Azmin dalam kenyataan medianya, membuat keputusan untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam Keadilan sekaligus mengajak seluruh dan pemimpin Keadilan menyokong Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali.
Menurut beliau, di sebalik banyak sokongan yang diterima, keputusan yang diambil untuk tidak bertanding disifatkkannya sebagai 'amat getir'.
Ditanya sama ada Anwar bersetuju beliau membuat keputusan untuk mengundurkan diri sebelum ini, beliau berkata Anwar 'tidak gembira' dengan hasrat beliau tersebut.
Bagaimanapun kata Azmin walaupun pengumuman pengunduran dibuat, namun sebahagian besar pemimpin negeri dan bahagian tidak menerima hasrat beliau dan terus mencalonkan beliau sebagai Timbalan Presiden.
Setakat ini, Azmin memperolehi lebih 40 pencalonan dari bahagian-bahagian Keadilan yang sedang bermesyuarat di seluruh negara.
Katanya, sehingga hujung minggu lepas, beliau dimaklumkan banyak pencalonan yang diterimanya dari Perak, Johor dan Negeri Sembilan.
"Alasan untuk tidak terima, pencalonan daripada penyokong membuatkan saya serba salah," katanya.
Sehingga hari ini katanya, beliau menerima banyak email, panggilan telefon dan SMS dari seluruh negara mendesaknya untuk terus bertanding.
Azmin juga yakin pencalonan yang diterimanya daripada pimpinan bahagian adalah bersandarkan kepada prestasi dan rekod kerjanya selama ini di dalam parti.
Beliau menafikan dakwaan menyatakan pencalonan yang diterimanya adalah kerana beliau bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden Keadilan itu bagaimanapun tidak menafikan beliau sering menjadi sasaran pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan hasratnya untuk menduduki kerusi nombor dua parti tersebut.
Menurut beliau, hasratnya untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden hanya timbul selepas Syed Husin membuat pengumuman untuk bersara dari politik dalam kongres tahunan parti tersebut tahun lepas.
Kemudiannya Syed Husin mengambil cuti dari sebarang aktiviti enam bulan yang difahamkan sebagai salah satu proses pengunduran daripada parti.
Bagaimanapun kata beliau, ramai pemimpin terkejut apabila, awal Febuari lepas, Syed Husin menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Keadilan.
"Saya menghormati dan menghargai kesediaan Dr Syed untuk terus berkhidmat dalan saf kepimpinan utama parti, saya akur dengan kehendak dan keprihatinan ahli-ahli parti, saya juga berpegang teguh kepada pendekatan muafakat demi keharmonian parti," jelas Azmin dalam kenyataannya sebelum ini.
Dalam temubualnya selama lebih satu jam itu Azmin turut menyentuh hubungannya dengan Anwar, Ezam Mohamed Nor, Syed Husin, pilihan raya dan kerjasama dengan parti-parti pembangkang.
Temubual ekslusif akan disiarkan tidak lama lagi. - mr

No comments: