Friday, March 2, 2007

Kes Ketua Pengarah BPR penting – Abdul Halim

Maslan YusohHarakahdaily
Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti akan memanggil Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor berhubung dakwaan rasuah dan jenayah seksual.Turut dipanggil bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan bagi memberi keterangan berhubung dakwaannya terhadap Zulkipli sebelum ini.Anggota jawatankuasa Pilihan Khas itu, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pihak yang menuduh dan kena tuduh akan dipanggil pada 12 Mac ini bagi memberi keterangan.“Kita bukan mahkamah, cuma hendak dapat keterangan daripada mereka. Pada persidangan itu saya akan hadir kerana isu ini adalah penting. Jawatankuasa ini tidak boleh bergantung kepada laporan media, jadi kita panggil mereka yang menuduh dan kena tuduh untuk memberi keterangan.“Jadi segala keputusannya akan diserah kepada parlimen untuk menentukan tindakan selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PAS Cawangan Sungai Keladi kali ke-30 di sini, hari ini.Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Intergriti diwujudkan pada 8 Disember 2005 bagi membincangkan isu-isu pengukuhan nilai, etika dan integriti di kalangan masyarakat berlandaskan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional.Jawatankuasa itu berkuat kuasa selama dua tahun diberi peranan meneliti dan membincangkan isu-isu etika dan integriti di kalangan masyarakat dan ahli-ahli majlis.Ia dianggotai 12 ahli yang dipengerusi Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala ahli lain termasuk Lim Kit Siang (DAP - Ipoh Timur) dan Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh (BN - Gerik).Abdul Halim yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, setakat diwujudkan sudah lebih 10 kali persidangan diadakan.“Isu yang dibincang pada persidangan sebelum ini termasuk berkaitan BPR dan lain-lain agensi kerajaan. Ia berkait salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.Kes Zulkipli timbul apabila seorang ahli perniagaan wanita membuat laporan polis pada Julai 1997 dengan mendakwa dipukul pegawai terbabit kerana menolak melakukan hubungan seks.Bekas Pengarah BPR Sabah pula mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya, yang dikatakan diperolehi melalui cara rasuah.Selain itu, Presiden Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohd Ezam Mohd Noor menyerah surat salah laku Zulkipli kepada Perdana Menteri pada 22 Febuari lalu untuk diambil tindakan segera.

No comments: