Thursday, March 1, 2007

Pemaju pastikan lokasi masjid tidak tersorot

Salmah Mat Husain Thu Mar 01, 07 08:18:33 AM
PENGKALAN CHEPA, 1 Mac (Hrkh) – Syarikat pemaju perumahan di negeri ini diharap memilih lokasi yang sesuai bagi didirikan masjid dan tidak membinanya di tempat yang agak tersorot.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kebanyakan surau atau masjid yang dibina di kawasan taman perumahan terletak di bahagian belakang.
“Keadaan itu tidak dapat menarik minat penduduk setempat datang. Ini secara tidak langsung seakan-akan memisahkan masyarakat dari rumah Allah,” katanya ketika merasmikan pelancaran rumah contoh Taman Desa Orkid, Kemumin, Panchor dekat sini, petang semalam.
Beliau juga mencadangkan susun atur rumah yang dibina hendaklah mengikut kehendak syarak misalnya pintu bilik utama tidak menghadap ruang tetamu kerana boleh menimbulkan masalah aurat ketika tetamu bertandang.
Sehubungan itu beliau berharap Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak-anak syarikatnya menjadi pelopor kepada seni bina kediaman yang menepati syarak.
“Semoga dengan kreativiti kita membina rumah selaras dengan kehendak syarak, ia boleh menjadi ikutan kepada syarikat dan arkitek lain pada masa akan datang.
“Ini selaras dengan Kelantan yang dianggap sebagai pameran bergerak berkaitan pencapaian tamadun Islam,” ujarnya sambil berkata, rumah berbentuk Islamik tidak semestinya mempunyai kubah seperti masjid.
Menurutnya, reka bentuk yang dibina syarikat pemaju milik orang Islam seharusnya mengambil kira kedudukan bilik tidur, ruang tamu dan dapur yang mempunyai elemen-elemen Islam.
Misalnya orang Melayu zaman lampau memastikan rumah yang dibina menghadap ke arah kiblat, di samping ruang tamu pula mempunyai dua pintu masuk iaitu untuk wanita dan lelaki.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PKINK, Haji Wan Yahya Wan Salleh berkata, projek perumahan Taman Desa Orkid dikendalikan Kelkon Sdn Bhd melibatkan kos sebanyak RM14.9 juta.
Projek berkenaan merangkumi 10 unit banglo dua tingkat, lapan unit banglo satu tingkat, 14 unit rumah teres satu setengah tingkat dan 53 unit teres dua tingkat.
“Harga jualan setiap unit adalah kompetitif berbanding dengan pemaju lain bahkan sehingga kini sebanyak 45 peratus daripada jumlah unit telah berjaya dijual,” ujarnya.
Manakala projek perumahan yang terletak di Taman Desa Orkid, Jalan Padang Tembak pula akan dikendalikan anak syarikat Kelkon Sdn Bhd, iaitu SPP Development Sdn Bhd

No comments: