Friday, March 9, 2007

Kenaikan gaji kakitangan awam, kerajaan jangan ambil kesempatan

Johari Jaafar Sat Mar 10, 07 03:16:21 AM
BAGAN DATOH, 10 Mac (Hrkh) - Kakitangan awam diingatkan tidak merasa `terhutang budi' kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sehinggakan terpaksa menggadaikan prinsip menentang penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan oleh BN ke atas rakyat negara ini.
Peringatan itu dinyatakan oleh Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Haji Masduki, mengulas tentang kemungkinan lebih satu juta kakitangan awam dijangka menikmati kenaikan gaji pada tahun ini.
Baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi berhubung kenaikan gaji dan Abdullah telah memberi petanda positif kepada kakitangan awam.
Menurut Presiden Cuepacs, Omar Osman, Perdana Menteri menyifatkan cadangan kenaikan gaji itu amat wajar memandangkan kali terakhir gaji kakitangan awam disemak 15 tahun yang lalu pada 1992.
Menurut Omar Osman, Cuepacs berharap kenaikan gaji itu dapat dilaksanakan pada 1 Mei ini sempena Hari Pekerja dan sambutan 50 tahun kemerdekaan sebagai penyintik semangat kepada kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat.
"Kita amat mengalu-alukan kenaikan gaji kakitangan awam, sepatutnya dahulu lagi sudah dinaikkan gaji," ujar beliau.
Di samping itu, beliau mengingatkan kerajaan BN supaya tidak menjadikan kenaikkan gaji tersebut sebagai `senjata' untuk `memikat dan memperdayakan' kakitangan awam agar memilih BN pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
"Kenaikan gaji itu hak kakitangan awam, jangan sampai ia diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin BN untuk `meracun' pemikiran kakitangan awam agar `berterima kasih' kepada BN dan mesti memberikan sokongan kepada BN untuk berkuasa semula ," katanya.
Kakitangan awam perlu berkhidmat dengan jujur dan amanah serta melipatgandakan lagi usaha memajukan negara, bukannya `berkhidmat untuk BN, jelasnya. - mks.

No comments: