Tuesday, March 27, 2007

PAS mahu Kerajaan memperkasa institusi kehakiman Islam

Tue Mar 27, 07 05:31:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) - Kerajaan digesa untuk memperkasakan Mahkamah Syariah demi mengelakkan konflik seperti kes-kes yang berlaku ke atas Moorthy dan Rayappan.

Tokoh-tokoh ilmuan, cendekiawan serta intelektual dalam bidang mahkamah syariah dan sivil harus bekerjasama dalam menyelesaikan kes seperti ini dan bukan untuk menuduh antara satu sama lain siapa yang lebih 'bijak'.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub sewaktu perbahasan usul menjunjung kasih ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong di Parlimen semalam turut mengharapkan Jabatan Perdana Menteri serta Jakim mengambil peranan yang proaktif ke atas kes-kes kemaslahatan umum.

"Kita tidak mahu kes-kes seperti ini menjadi satu bahan atau satu peluru yang akan menembak diri kita sendiri sekiranya kerajaan yang mendapat mandat besar pada hari ini tidak memperkasakan Mahkamah Syariah dan menyelaraskan segala peruntukan yang ada dengan pihak Mahkamah Sivil dalam negara kita.

"Sebagai contoh, kes Aryappan yang dibicarakan, pihak bukan Islam membicarakan kes ini dalam Mahkamah Sivil manakala pihak yang beragama Islam membicarakan kes ini dalam Mahkamah Syariah. Kenapa Kabinet, kenapa Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara menentukan agama Aryappan. Ini yang berlaku. Ini yang kita tidak mahu berlaku dalam negara kita. Biarkan mahkamah-mahkamah ini menggunakan bidang kuasa masing-masing untuk menentukan kes ini," katanya.

Justeru katanya satu suruhanjaya bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan kerjasama Mahkamah Sivil mesti diadakan serta-merta kerana dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini yang akan menyebabkan Perkara 121 (1A) dipersendakan oleh orang bukan Islam.

Selain itu, katanya semua pihak seperti NGO Islam, badan-badan yang bersimpati dengan Islam, golongan-golongan intelektual universiti juga harus tampil ke hadapan untuk menyelesaikan isu seperti ini.

PAS katanya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan sekiranya memberi ruang kepada ulama untuk turut memperkasakan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil demi untuk melihat integriti mahkamah khususnya Mahkamah Syariah dapat dikembalikan dan meyakinkan rakyat dalam negara ini. - mks.

No comments: