Friday, March 2, 2007

Pemuda perlu digerakkan segera untuk hadapi pilihan raya umum - Salahuddin

Ekmal Yusof Fri Mar 02, 07 05:04:33 AM
TAIPING, 2 Mac (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub meminta semua Pemuda PAS digerakkan dari sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 nanti.
“Jangan tunggu saat-saat akhir baru hendak bergerak dan mengatur gerak kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Air Kuning, Taiping, dekat sini malam tadi, Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan perlu ada sekurang-kurangnya lima pemuda sebagai “hard-core” atau teras kekuatan Pemuda yang boleh di panggil pada bila-bila masa apabila diperlukan oleh parti.
“Kalau ini tidak dapat dilaksanakan, adalah malang bagi kita kerana apa yang kita ucapkan selama ini hanya sebagai retrorik sahaja," ujar beliau.
Sehubungan ini para pemuda digesa melakukan gerak kerja secara sistematik dan tersusun rapi umpama satu bangunan yang kukuh dan tidak mudah `digoyah’ oleh serangan musuh Islam .
Beliau turut mengingatkan Pemuda supaya jangan melakukan kerja `ala kadar sahaja’ kerana kerja seumpama itu pasti mengundang kegagalan, sebaliknya gerak kerja yang sistematik pasti membawa kejayaan kepada parti.
“Saya tidak mahu melihat Pemuda PAS dalam keadaan berjuang di takuk lama sama seperti 50 tahun lalu, sepatutnya kita bergerak mengikut arus perdana masa kini," ujar beliau
Sehubungan itu beliau melahirkan rasa bangga melihat satu program Himpunan 150,000 Pemuda di Kota Bharu baru-baru ini, yang membuktikan komitmen serta kesepaduan tenaga Pemuda. - mns

No comments: