Wednesday, March 7, 2007

DAP perlu lihat kejayaan PAS tadbir Kelantan

Salmah Mat Husain Wed Mar 07, 07 10:57:56 AM
KOTA BHARU, 7 Mac (Hrkh) – Kejayaan PAS mentadbir Kelantan berlandaskan Islam sejak hampir 17 tahun sepatutnya menjadi kayu ukur kepada DAP bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pakatan Barisan Alternatif (BA).
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak ada sebab DAP menolak pakatan dengan PAS, biar pun parti itu berusaha menegakkan Islam dalam pentadbiran negara.
“Ini kerana kerajaan Kelantan yang dikuasai PAS sejak hampir 17 tahun telah membuktikan Islam tidak pernah menyusahkan golongan minoriti,” katanya pada sidang media sempena kunjungan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya hari ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pakatan yang makin kukuh di antara PAS dan Keadilan memberi ruang lebih besar kepada BA pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun tambahnya sekiranya DAP turut bekerjasama dengan PAS dan Keadilan dalam pakatan BA peluang untuk menumbangkan kerajaan BN lebih terbuka lagi.
“PAS sentiasa membuka ruang kepada DAP untuk bekerjasama dalam pakatan bersama Keadilan. PAS sebenarnya sedia menerima DAP atau apa sesiapa sahaja dalam pakatan menentang kezaliman kerajaan BN,” katanya.
Cuma kata beliau DAP yang tidak mahu bekerjasama dengan PAS seperti berlaku pada pilihan raya umum lalu.
Beliau juga berkata, masyarakat minoriti di negeri ini boleh melaksanakan kegiatan mereka dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya tanpa sekatan.
“Mungkin mereka (DAP) masih terpengaruh dengan kempen Amerika Syarikat yang mendakwa Islam bersikap ganas,” ujarnya.
Malah katanya, kerajaan negeri sekarang menggunakan pendekatan lebih mesra rakyat dengan memperkenalkan pelbagai program termasuk skim Takaful Warga Emas dan Takaful Ibu Tunggal.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pakatan PAS dengan Keadilan semakin utuh sekarang.
Pada pilihan raya umum lalu, PAS hanya mengadakan kerjasama dengan Keadilan. Keadilan juga mengadakan persefahaman dengan DAP bagi memastikan tidak berlaku pertembungan calon.
Sementara itu, Anwar berkata, tiada perbezaan ketara di antara DAP, PAS dan Keadilan bagi memperjuangkan isu rakyat terutamanya berkaitan ekonomi, sosial, dan keadilan.
Bagaimanapun katanya, media memainkan peranan memburukkan PAS dan Islam.
“Berdasarkan kepada beberapa siri perbincangan yang saya hadiri tiada isu perbalahan atau percanggahan di antara PAS dan DAP. Cuma media arus perdana yang memanaskan suasana,” ujarnya.
Beliau berkata, sekarang tidak ada masalah dalam hubungan PAS dengan DAP.
Beliau juga menjelaskan kedatangannya ke Kelantan bagi mengukuhkan lagi mauafakat antara PAS dan Keadilan.
“Saya juga meminta pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan lagi pakatan Barisan Alternatif.

No comments: