Wednesday, March 21, 2007

MB rai pelajar terbaik sekolah Yik

Salmah Mat Husain Wed Mar 21, 07 07:09:51 PM
KOTA BHARU, 21 Mac (Hrkh) – Pelajar terbaik SPM 2006 peringkat negara, Siti Fatimah Mukhtar diraikan Menteri Besar bersama 18 lagi pelajar cemerlang dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik).
Mereka diraikan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis kesyukuran yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan dekat sini, petang tadi.
Pelajar tersebut mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Ugama (SMU), SPM, STAM dan STPM.
Pelajar cemerlang STAM, Ahmad Najib Abdullah dari Maahad Muhammadi Lelaki juga merupakan pelajar terbaik seluruh Malaysia apabila mendapat 10 mumtaz.
Kesemua pelajar terbabit menerima hadiah dan cenderahati daripada Menteri Besar yang turut disaksikan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, guru-guru dan ibu bapa. Program itu dimulakan dengan solat Zohor berjemaah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kecemerlangan pelajar sekolah agama dalam semua peperiksaan 2006 diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat.
“Diharap ia menjadi dorongan kepada anak-anak lain untuk meraih kejayaan di samping sebagai bukti tiada kekurangan kurikulum digunakan di sekolah Yik,” ujarnya pada majlis itu.
Beliau juga mengucap tahniah kepada akhbar The New Straits Times kerana membuat laporan benar berhubung kejayaan yang diraih pelajar Yik dalam peperiksaan SPM.
“Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua media yang memberi laporan memberangsangkan terhadap prestasi pelajar Yik dalam semua peperiksaan tahun lalu,” ujarnya.
Pengarah Yik, Ahmad Mahmood berkata, majlis kesyukuran kecemerlangan pelajar Yik diadakan di Maahad Perempuan memandangkan pelajar cemerlang peringkat negara belajar di sekolah berkenaan.
“Apa yang lebih membanggakan sebanyak 18 sekolah mendapat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Ia sesuatu yang membanggakan kita semua,” katanya. /mj

No comments: