Sunday, March 18, 2007

Demonstrasi Protes, Saari antara lima ditahan di USJ

Intan Abdullah Mon Mar 19, 07 08:18:15 AM
SUBANG JAYA, 19 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Kawasan Gombak, Saari Sungib, tiga orang awam serta seorang aktivis wanita reformasi ditangkap dalam perhimpunan aman di pasaraya The Summit USJ pada petang semalam.
Saari mendakwa telah ditendang serta dikasari oleh pihak polis dalam pergelutan yang berlaku semasa sedang berucap dalam perhimpunan tersebut setelah pergelutan bermula pada jam 4.55 petang
Dalam kejadian tersebut, pihak polis secara tiba-tiba bertindak agresif menangkap orang awam yang berhimpun di pintu masuk menyebabkan mereka berpusu-pusu masuk dan lari lintang pukang ke dalam pasaraya tersebut
pihak polis telah berjaya menangkap 3 orang awam termasuk aktivis reformasi, Nora yang turut sama menyertai perhimpunan itu
Semua tahanan telah dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan.
Semasa kejadian, lebih 100 orang polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di kawasan pasaraya tersebut, dan juga di pekarangan The Summit USJ.
Perhimpunan Aman tersebut dianjurkan oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes) dan merupakan siri kelima sepanjang ia dilancarkan.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR),Tian Chua; AJK PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub; wakil Suaram dan DAP.
"Kami akan terus mengadakan perhimpunan ini sekali sebulan di tempat awam sehingga kerajaan bersetuju dengan tuntutan kami iaitu mendedahkan perjanjian konsesi tol, mengkaji semula perjanjian tersebut serta menurunkan atau memansuhkan tol yang telah membebankan rakyat ini, " jelas Tian Chua.
Beliau menyatakan kekesalan atas tindakan polis yang bersikap tidak profesional serta mengharapkan pihak polis tidak melakukan apa-apa yang menjejaskan keselamatan awam, serta tidak bertindak menakutkan orang ramai dengan menggunakan kekerasan kepada orang ramai di luar bidang kuasa mereka.
Pehimpunan yang dimulai seawal jam 4 petang ini berlangsung dalam keadaan yang tenang dan terkawal di pekarangan pintu masuk The Summit USJ dengan disertai oleh kira-kira 500 orang awam, aktivis politik dan NGO.
Ketika ucapan dimulakan pihak polis telah membunyikan siren yang sangat kuat sehingga mengganggu perhimpunan tersebut membuatkan mereka yang hadir semakin kuat melaungkan sorakan.
Namun, keadaan menjadi kelam kabut setelah polis mengepung orang ramai pada jam 4.35 petang memaksa semua bertempiaran lari ke dalam pusat membeli belah tersebut.
Pada jam 4.45 petang, perhimpunan tergendala seketika atas arahan pihak polis agar semua bersurai, tetapi ia disambung dengan edaran risalah kepada orang awam dengan diperhatikan oleh pihak polis dalam pusat membeli belah itu.
Akibatnya, pihak pengurusan menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap mereka yang mengadakan perhimpunan tersebut.
"Kita berjanji bagi pihak rakyat, sebagai ahli parlimen akan menyuarakan hak rakyat untuk menurunkan harga tol sempena pembukaan sidang parlimen yang akan berlangsung esok 19 Mac," jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub.
Menurut Tian Chua, Protes akan terus mengadakan perhimpunan ini dengan tujuan mengingatkan kerajaan akan tuntutan yang telah diketengahkan kerana rakyat tidak berpuas hati dengan kenaikan tol yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.
"Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan polisi BN yang tidak telus dan tidak adil" begitulah bunyi sepanduk serta slogan "turunkan tol, naikkan gaji" yang dilaungkan oleh perhimpunan aman membantah kenaikan tol dekat sini. - mks.

No comments: