Sunday, March 4, 2007

Perluaskan perjuangan PAS ke seluruh negara

Basiron Abdul Wahab Mon Mar 05, 07 12:08:23 AM
KUALA LIPIS, 5 Mac (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menggesa supaya semua peringkat di dalam parti membuka pasaran perjuangan lebih luas kepada seluruh masyarakat Malaysia.
Ini kerana, kata beliau perjuangan suci ini tidak mampu diperjuangkan seorang diri, ia mesti diperjuangkan oleh semua orang secara berjamaah .
Menurutnya, dengan kekuatan sedia ada adalah sukar bagi PAS untuk mencapai kejayaan dalam konteks pilihan raya justeru ia maesti dibuka kepada semua.
Beliau berkata, PAS dengan kekuatan yang ada sememangnya kuat tetapi ia belum cukup dan memerlukan sokongan daripada lebih ramai orang.
"Saya tidak bimbang dengan ahli PAS sedia ada, mereka sememangnya mempunyai kekuatan yang sukar digugat tetapi kita memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan kejayaan," ujarnya.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lipis kali ke-39, di Darul Iman, Padang Tengku, Sabtu lalu beliau berkata, kepercayaan mesyarakat terhadap PAS semakin meningkat sehingga tertubuhnya kelab penyokong PAS di beberapa negeri yang dianggotai oleh kaum Cina dan baru-baru ini dilancarkan pula kelab penyokong PAS dari kalangan kaum India.
"Kelab-kelab penyokong PAS itu sedang berkembang pesat di beberapa buah negeri, di Negeri Sembilan umpamanya kelab itu mempunyai penyokong hampir 600 orang," katanya.
Ustaz Nasharudin menggariskan beberapa perkara yang perlu ada kepada ahli parti untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perkembangan semasa antaranya ialah memperkuatkan sahsiah Islam, meningkatkan kefahaman agama (Islam) dan meningkatkan kemahiran berpolitik.
Menurutnya, PAS berhadapan dengan cabaran daripada lawan yang mempunyai kekuatan kebendaan yang hebat ialah Umno dan Barisan Nasional (BN). Parti itu memperuntukan wang yang banyak bagi setiap bahagian dan kawasan khusus bagi menghadapi pilihan raya.
Bagi PAS , kata Nasharudin tidak mempunyai kekuatan kebendaan seperti dimiliki Umno, bagaimanapun PAS mempunyai aset yang tidak ada pada mereka iaitu, ahli-ahli PAS berjuang mencari keredaan Allah.
Katanya, banyak pihak memberi harapan kepada PAS untuk menggantikan Umno/BN sebagai pemerintah kerana Umno/BN terlalu banyak menyusahkan rakyat seperti menaikan harga minyak, membatalkan cadangan buku teks percuma kepada semua palajar sekolah rendah dan menengah dan sebagainya dengan alasan kerajaan tidak mempunyai kemampuan tetapi pada masa sama membelanjakan wang untuk bermewah-mewah seperti membeli kapal terbang untuk kegunaan pemimpin dan sebagainya. - mks.

No comments: