Azamin Amin Wed Jun 11, 08 1:07:37 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - 'Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh �orang biasa�.
Demikian antara petikan pendapat Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abdidin berhubung soal pembaziran yang memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat yang turut dikaitkan dengan isu kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.
"Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya.
"Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun," katanya yang dipetik daripada blognya.
Akibat daripada itu kata Asri yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak memperolehi yang selayaknya malah pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.
"Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas," katanya.
Beliau dilihat tidak bersetuju sekadar untuk �mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi'.
"Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?.
"Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh �orang biasa�.
Dr Asri juga turut membangkit persoalan kewajaran di saat 'genting' ini adakah patut orang-orang besar diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka.
"Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan �berhiburan� dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?
"Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat," katanya yang sedar bahawa beliau mengambil risiko menulis hal ini namun baginya tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya.
Maka kata Dr Asri alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.
"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini," katanya.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini katanya perkara-perkara yang disebutkan itu mestilah dipandang serius malah kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment