Azamin Amin Tue Jun 03, 08 03:22:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Hrkh) - Kebebasan akhbar di negara ini masih berada di tahap yang begitu mengecewakan malah membimbangkan apabila etikanya disandarkan hanya bergantung kepada persepsi dan tafsiran pihak kerajaan semata-mata tanpa menggunakan saluran undang-undang yang sedia ada.
Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar berkata sewajarnya etika akhbar ini haruslah ditentukan oleh mahkamah dan bukannya atas bidang kuasa pihak kerajaan yang dilihat seolah-olah berkepentingan dalam menyekat kebebasan akhbar di negara ini.
"Sesebuah akhbar dihadkan, dihentikan penerbitan atau tidak diperbaharui permit oleh kerajaan hanya berdasarkan kepada tafsiran sahaja dan bukannya diputuskan oleh mahkamah.
"Sepatutnya akhbar diberi kebebasan maksimun untuk menerbitkan sebarang artikel dan sebarang kecuaian atau ketidak puasahati pembaca atau rakyat amnya mestilah dibawa kemahkamah untuk menetukan sama ada akhbar terbabit beretika atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebntar tadi.
Beliau turut diminta mengulas penerbitan akhbar alternatif seperti Harakah yang sering kali 'dihantui' dan menerima banyak amaran dan kekangan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekaligus membuktikan tahap kebebasan akhbar di negara ini.
"Sepatutnya Harakah atau mana-mana akhbar alternatif diberikan permit untuk terbit secara kerap dan dibiarkan bersaing dengan media arus perdana malah tidak wajar didiskriminasikan.
"Jika ianya disekat, maklumat dan pandangan pihak ketika tidak akan sampai dengan cukup untuk membentuk minda rakyat supaya membuat keputusan secara seimbang," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Harakah sebelum ini ditegur KDN berulang kali, di bawah seliaan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi pada 29 September 2006 dan 15 Februari 2007, kerana : "menyiarkan artikel-artikel yang tidak seimbang dan berbentuk spekulatif, yang boleh menggugat suasana dan kestabilan politik negara."
"Harakah hanya dibenarkan terbit sekali dalam 15 hari, fungsinya sebagai akhbar sudah tiada," kata Lutfi dalam satu komentarnya sebelum ini.
"KDN memancung kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, berkuatkuasa Mac 2000, selepas Umno mendapat malu besar dalam pilihan raya November 1999," katanya.
Ahad lalu kira-kira 150 orang terdiri daripada para wartawan, blogger serta kumpulan rakyat prihatin menyertai satu perarakan spontan menyokong kebebasan media dari Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi ke Dataran Merdeka.
Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim yang turut berada di lokasi tersebut berjanji untuk memberikan komitmennya untuk terus bekerjasama dan mendengar pandangan wartawan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan di bawah bidangkuasanya. Terdapat empat kementerian lagi yang terlibat dengan akta-akta yang dituntut dihapuskan oleh wartawan, katanya.
"Saya bukannya orang yang tepat untuk bercakap tentang soal ini, dalam program yang akan datang, saya mencadangkan supaya menteri yang tepat dapat dipanggil untuk menjelaskan keadaan. Saya datang hanya untuk mendengar pandangan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment