Anis Nazri Sun Jun 08, 08 11:44:32 am MYT
KAMUNTING, 8 Jun (Hrkh) - Siri Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA menemui kemuncak malam tadi dengan kempen 'vigil' yang diadakan dengan suasana aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Lebih seribu orang, dengan lilin di tangan masing-masing, mendengar beberapa ucapan yang disampaikan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengarah kempen, yang juga isteri tahanan, Norlaila Othman; dan isteri tahanan, Sharmila Sanjeev Kumar.
Sebelum itu, mereka berarak kira-kira satu kilometer dari Masjid Jamek Kamunting ke kem dalam keadaan hujan renyai-renyai, selepas waktu Maghrib.
Namun, suasana itu tidak melunturkan semangat mereka yang menyertai perhimpunan tersebut biarpun bertukar lilin beberapa kali, sambil diawasi Unit Amal Malaysia.
Perhimpunan ini melakarkan sejarah tersendiri apabila pihak keselamatan turut memberikan kerjasama dengan sebaiknya, walaupun kelihatan agak 'tertekan' dengan perhimpunan tersebut.
Perbincangan pihak keselamatan dengan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham, menjadikan perhimpunan itu satu perhimpunan aman yang tidak mengganggu keselamatan negara.
Kira-kira jam 9.30 malam, mereka diminta untuk bersurai, walaupun tergambar di wajah masing-masing riak 'tidak puas' dengan perhimpunan tersebut.
Bagaimanapun, sebagai rakyat yang patuh dan mencintai keamanan, seperti yang diucapkan Syed Ibrahim, mereka beransur dan berarak kembali ke masjid.
Namun, mereka masih meluahkan rasa hati mereka dengan menyanyi dan melaungkan slogan-slogan seperti 'Mansuhkan ISA, 'Tutup Kemta' dan sebagainya.
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Adun Teja, Chang Lih Kang; Drs. Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong), Mohd Anuar Sidin (Changkat Jong), Yee Seu Kai (Pokok Assam), Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), juga ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S. Jeyakumar.
Selain Adun-adun Perak, turut hadir Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah, aktivis S. Arutchelvan, blogger 'Zorro', blogger Haris dan aktivis-aktivis hak asasi manusia lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment