Saturday, June 14, 2008

Peraliahn kuasa, PM dan TPM perlu berundur bagi selamatkan negara - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 15, 08 2:22:17 pm MYT
SEREMBAN 15 Jun (Hrkh) - Formula peralihan kuasa seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib Tun Razak bukan jalan terbaik bagi menyelematkan negara dan rakyat dari kesengsaraan 'terlampau' mutakhir ini, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Sebaliknya, kata beliau kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu perlu melepaskan jawatan masing-masing kerana mereka adalah liabiliti negara.
"Mereka adalah pemimpin yang menjadikan rakyat terus sengsara, negara berada dalam keadaan tidak menentu, pentadbiran cukup lemah dan rakyat terus tertekan dengan pelbagai dasar mereka yang tidak tentu," ujar Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena semasa menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung formula peralihan kuasa dengan Najib yang disiarkan akhbar arus perdana semalam.
Mengulas lanjut, Mahfuz menyatakan Perdana Menteri seorang pemimpin yang lemah dan tidak mampu mentadbir negara dengan bijaksana.
Sementara Najib adalah seorang yang sangat dikenali dengan dakwaan skandal-skandal tertentu termasuk dalam isu pembelian peralatan ketenteraan, kapal selam dan jet pejuang yang menjadi sebutan ramai.
"Kedua-dua mereka adalah liabiliti kepada negara, justeru kedua-duanya perlu melepaskan jawatan masing-masing bagi menyelamatkan negara,
"Formula yang mungkin berkesan bagi mengatasi masalah negara ini ialah, saya menyeru kepada seluruh ahli parlimen BN termasuk Umno menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan sekaligus menyelamatkan negara dan rakyat yang kini berada dalam keadaan kritikal," ujar Mahfuz.
Jika perkara ini lambat dilaksanakan, beliau bimbang negara dan rakyat akan terus berada dalam keadaan yang tidak menentu dengan kerana kelemahan pemimpin Umno/BN yang mentadbir negara ini._

No comments: