Wednesday, June 25, 2008

KeADILan pulangkan wang derma ke akaun kerajaan negeri - Tan Sri Khalid

Salmiyah Harun Thu Jun 26, 08 10:17:00 am MYT
SHAH ALAM, 26 Jun (Hrkh)- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan wang derma 100 hari yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan dipulangkan ke akaun kerajaan negeri.
Beliau berkata, wang sumbangan anak-anak syarikat kerajaan Selangor yang tidak diketahui jumlahnnya akan dibahagikan kepada parti dalam Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya masalah itu akan diputuskan dalam perjumpaan bersama perhubungan negeri pada malam ini.
"Kita akan adakan mesyuarat dan perjumpaan perhubungan negeri yang mana isu-isu pengaliran dana yang masuk ke akaun KeADILan itu akan dibangkitkan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan SUK Shah Alam petang semalam.
Katanya, berdasarkan surat yang ditulis oleh bekas setiausaha khasnya yang mencadangkan wang derma itu dimasukkan dalam satu akaun iaitu akaun parti.
Sementara itu, beliau menafikan tuduhan daripada Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mengatakan Menteri Besar itu adalah jurucakap kepada BPR.
Khalid berkata, beliau berjumpa dengan BPR supaya membuat penyiasatan dan BPR menyerahkan surat mengenai penyiasatan tersebut kemudian beliau hanya membaca surat berkenaan.
"Saya hanya membaca apa yang dilakukan oleh BPR, dan saya berterima kasih kepada BPR, sebenarnya perkara ini bukan baru bahkan di dalam PNB pun saya sama-sama meengkaji sistem aliran maklumat bersama badan itu,"katanya.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Lew menjelaskan seramai 37 wakil termasuk Yang dipertua dari 12 Pihak Berkuasa Tempatan serta beberapa ketua bahagian akan membuat lawatan ke Singapura.
Katanya, rombongan itu akan bertolak ke Singapura esok sehingga 28 Jun untuk membuat tinjauan bagaimana negara itu mengendalikan dan menjadikan bandar mereka bersih dan hijau.
"Tidak salah untuk kita melihat bagaimana mereka melakukan operasi yang menjadikan negara mereka efisyen, walaupun kita ada pakar tertentu tetapi kita mahu mencari kelebihan mereka," katanya.
Beliau juga menegaskan lawatan itu adalah lawatan kerja dan mereka dijangka akan menaiki bas ke Singapura.
"Kami akan naik bas, isteri atau suami tidak dibenarkan ikut, kita dalam lawatan kerja,"katanya. - mr _

No comments: