Nyza Ayob Thu Jun 12, 08 3:13:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Kumpulan Prihatin Malaysia United Kingdom (KPM) melahirkan kekesalan diatas pemecatan perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengarah Perhubungan Awam KPM, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berpendapat KPM melihat penamatan tersebut adalah bermotifkan politik semata-mata dengan menasihati DYMM Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIAM untuk memecat Tan Sri Sanusi bagi mencapai matlamat mereka yang berkepentingan.
Jelasnya, KPM meragui penamatan khidmat Sanusi itu adalah kehendak DYMM Sultan Ahmad Shah sendiri walhal pada hakikatnya ianya dimanifestasikan oleh pemimpin Umno tertentu.
Sehubungan itu katanya, pelantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Presiden UIAM yang baru, serentak dengan pemecatan Sanusi jelas menunjukkan perlucutan jawatannya adalah sesuatu yang telah dirancang dan diduga oleh pihak-pihak tertentu.
"Kami tidak mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Sidek, namun adalah menjadi kekhuatiran sekiranya Tan Sri Sidek yang juga merupakan Ketua Setiausaha Negara sekarang mampu untuk memberikan perhatian dan komitmen yang serius terhadap pembangunnan UIAM sebagai sebuah gedung ilmu dan masyarakat berbanding dengan Tan Sri Sanusi yang mendermakan sepenuh masanya untuk pembangunan pelajar dan universiti, "katanya.
Beliau melahirkan kekesalan sekiranya terdapat pihak tertentu yang sanggup menggadaikan pembangunan akademik umat Islam dengan mencampur-adukkan permasalahan politik tanahair dan akademik terutamanya di saat kemelut politik Umno sedang membarah sekarang.
Tegasnya, pengisytiharan Sanusi keluar dari Umno tidak sepatutnya dikaitkan dengan jawatannya sebagai Presiden UIAM.
Selain itu katanya Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khaled Nordin juga dilihat cuba mengelak dari bertanggungjawab di atas pemecatan Sanusi.
"Semua warga UIAM tahu akan kejayaan Tan Sri Sanusi memimpin universiti tersebut sepanjang 8 tahun. Namun langkah terdesak pemimpin Umno yang takut akan bayang-bayang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama Tan Sri Sanusi sehingga sanggup mencantas dan menyekat dimana jua mereka berada demi menjaga survival politik pemimpin Umno.
"Tindakan mereka ini sehingga sanggup menggadaikan pembangunan akademik warga UIAM,"katanya.
Justeru itu katanya, KPM berharap Perdana Menteri dapat memberi penjelasan kepada ribuan mahasiswa dan kakitangan UIAM yang tersinggung dengan pemecatan Sanusi yang jelas memahami selok-belok UIAM.
Beliau juga mengharapkan pejabat Presiden UIAM yang beroperasi sepenuhnya sepanjang Sanusi memegang jawatan Presiden perlukan dipastikan kekal' bertuan� sepanjang waktu dan bukannya sebagai 'part-time'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment