Sunday, June 1, 2008

Kejayaan PAS dapat liputan di Islamonline.net

Zainudin Hashim Mon Jun 02, 08 01:56:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Hrkh) - Sebuah lamanweb Islam terkemuka pada masa ini, islamonline.net dalam laporannya semalam telah memberi satu liputan berhubung kejayaan PAS mentadbir lima negeri hasil dari gabungan Pakatan Rakyat.
Liputan berkenaan dilakukan oleh seorang ahli akademik berbangsa Arab yang menetap di Malaysia, Muhammad Syarif Basyir.
Dalam liputannya itu, beliau telah mewawancara Ahli Parlimen PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan merangkap ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Antara lain dalam wawancara tersebut, Dr Dzulkifli menyatakan skop atau pendekatan PAS pasca pilihan raya amat menitik-beratkan nilai demokrasi berparlimen yang mahu menerapkan Islam sebagai satu cara yang praktikal di kalangan umat Islam dalam segenap hidup mereka, tanpa mengabaikan pentarbiahan terhadap bukan Islam agar diseru untuk memahami Islam sebagai agama rasmi negara.
Ini kerana menurutnya, PAS bukan sahaja bergerak sebagai sebuah parti politik dengan hala tuju yang jelas, pada masa yang sama ia juga adalah sebuah gerakan Islam yang berpengalaman dengan sepak terajang politik negara, justeru penggabungan atau dikenali sebagai 'tahaluf siasi' bersama parti-parti politik lain amat perlu bagi menumbangkan Barisan Nasional tanpa menggadai prinsip-prinsip asal penubuhan PAS itu sendiri iaitu Islam.
Beliau yang ditanya mengenai matlamat PAS menegaskan, bahawa PAS berhasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai pendidikan dan pembelajaran agama Islam bagi mencapai keredaan Allah SWT.
Selanjutnya, PAS juga berusaha sejak penubuhannya untuk memperbaiki keadaan negara, memelihara keamanan sejagat serta kesucian Islam sebagai agama rasmi negara.
Bagi merealisasikan tujuan di atas tegas beliau, PAS perlu belajar dari kesilapan-kesilapan lalu, di samping mengerat kerjasama politik dengan parti-parti politik walaupun dianggotai bukan Islam, ia bertujuan untuk menyampaikan mesej Islam yang jelas buat semua bangsa manusia di muka bumi ini, kerana semua mereka itu adalah makhluk yang dicipta dari satu Tuhan, iaitu Allah SWT. - mks

No comments: