Wan Nordin Wan Yaacob Tue Jul 01, 08 10:11:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Insiden dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim mengejutkan rakyat dan menjadi kebimbangan, kata Presiden Abim, Yusri Mohammad.
Malah, Abim memberi amaran kepada semua pihak termasuk media agar tidak mensensasikan isu ini kerana ia membabitkan maruah dan isu peribadi, katanya.
Negara ini telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks, melibatkan Ketua Umum KeADILan itu sebelum ini, katanya.
"Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin mengheret negara ke kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Abim berharap semua pihak yang terlibat menangani isu ini, benar-benar mengambil pengajaran dari episod gelap krisis yang lalu, untuk bersiap menanganinya dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah, katanya.
Isu terbaru ini merupakan ujian dari Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini, katanya.
"Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan istirja', istighfar, solat dan bermunajat kepadanya.
"Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaran-Nya dalam menangani persoalan yang timbul," kata Yusri.
Kata Yusri, Abim mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini.
"Seterusnya Abim berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil," katanya.
Yusri meminta pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat, dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam.
Pihak terbabit juga, tambahnya, perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Anwar sepertimana yang layak diterima olehnya.
"Pihak media juga diingatkan agar mengelak daripada menjadi 'hakim' yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan.
Bagi Yusri kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar.
Sehubungan itu, semua pihak terutamanya media juga haruslah mengelak membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan, katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment