Nyza Ayob Thu Aug 09, 07 02:28:40 PM
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, (Bersih) mengalu-alukan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menanda jari pengundi dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia tidak melanggar hukum syarak.
Perkara tersebut dinyatakan Wakil Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa dalam sidang akhbar mingguan KeADILan yang bertempat di Ibu Pejabat KeADILAN di Brickfields, pagi tadi.
Jelas Faisal, Bersih telah mengadakan pertemuan dengan pihak SPR pada 3 Julai dan perkara yang dibincangkan pada tarikh tersebut dibangkitkan pada pertemuan kedua pada 7 Ogos lalu.
Katanya, penggunaan dakwat kekal adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut dan diharapkan tidak menimbulkan masalah dalam mempertikaikan masalah pengundian berganda.
Selain itu katanya dalam pembersihan dan pemutihan daftar pemilih, SPR mengakui terdapat banyak nama yang tidak berdaftar datang mengundi pada pilihan raya 2004. Selepas SPR bersama Jabatan Pendaftaran Negara(JPN), menyatukan senarai pemilih mereka dengan senarai yang ada pada JPN. Ini termasuklah penggunaan Mykad daripada KP8 (kad pengenalan lama) kepada KP12 (kad pengenalan baru), apabila digabungkan antara keduanya terdapat puluhan ribu nama yang tidak ada dalam JPN terdapat dalam senarai pemilih SPR.
Dalam pada itu katanya, Bersih juga mendesak senarai pemilih yang perlu digunakan untuk pilihan raya akan datang.
Jelasnya, menurut Setiausaha SPR, Dato' Kamaruzzaman kemungkinan SPR akan menggunakan senarai pemilih yang berdaftar dalam sukuan ketiga,tetapi terdapat beberapa syarat yang dikenakan iaitu nama-nama mereka mungkin tidak akan dipamerkan.
Bagaimanapun kata Faisal, Bersih tidak akan bertoleransi dengan tindakan ini kerana banyak kemungkinan yang akan berlaku sekiranya nama pemilih ini tidak dipamerkan.
Jelasnya sekiranya terdapat pelbagai kekangan supaya nama mereka ini tidak dipamerkan, Bersih mendesak supaya menggunakan senarai pemilih sukuan kedua.
Bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil, Bersih juga mendesak undi pos dapat dihapuskan. Bersih juga mengharapkan agar pengundian pos berjalan dengan adil ialah sekurang-kurangnya wakil calon dibenarkan melihat proses pengundian dalam kem-kem tentera dan polis.
Jelasnya, menurut Setiausaha SPR, perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan Ketua Polis Negara (KPN) dan telah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri(TPM) memohon kebenaran supaya wakil-wakil parti masuk ke kem-kem tentera semasa pengedaran sampul undi pos. Bagaimanapun permohonan ini belum mendapat jawapan daripada pihak TPM dan KPN.
"Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPR boleh terus merujuk kepada Yang Dipertuan Agong untuk menjalankan perkara ini iaitu membenarkan wakil-wakil calon melihat proses pengundian pos," katanya.
Dalam pada itu, Bersih juga memohon agar tempoh berkempen dilanjutkan sekurang-kurangnya selama 14 hari. Permohonan ini juga tidak diterima pihak SPR dengan alasan tempoh berkempen yang singkat dapat mengelakkan keadaan yang tegang serta masalah keselamatan demi ketenteraman awam.
Selain itu, cadangan Bersih supaya diadakan debat terbuka antara kedua-dua parti yang bertanding sekiranya berlaku satu lawan satu dalam satu kawasan Parlimen, SPR menganggap perkawa tersebut bukan tanggung jawab pihaknya dan tidak akan menganjurkan debat tersebut.
"Jika melihat pada hak seorang calon itu, mereka mempunyai hak untuk menyuarakan manifesto mereka sendiri dan sepatutnya tidak mendapat sekatan daripada media. Sekiranya mereka mampu mengiklankan manifesto mereka dengan bayaran, tidak ada alasan untuk media menolak permohonan tersebut," jelasnya yang menegaskan Bersih terkilan dengan kenyataan SPR itu.
Dalam perkembangan lain, jelas Faisal, selepas kejayaan menganjurkan Konvensyen Rakyat pada 20 Julai lalu, Bersih akan menganjurkan beberapa siri konvensyen di beberapa tempat yang lain seperti Pulau Pinang, Ipoh, Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu.
Manakala selepas Hari Raya Aidilfitri, mini konvensyen akan diadakan pada setiap negeri bagi memberi peringatakan kepada pengundi tentang kepentingan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.
Sementara itu keputusan Majlis Fatwa itu turut dialu-alukan oleh parti KeADILan. Setiausaha Agungnya, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim melalui kenyataan media yang dibacakan oleh Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua mengharapkan SPR memegang dengan janjinya untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal dan tidak terpengaruh dengan sebarang ugutan untuk menarik balik keputusan mereka dalam menjamin perjalanan pilihan raya ini tidak dipertikaikan dan dijalankan dengan bersih.
Bagaimanapun katanya, keADILan masih merasa musykil bahawa dakwat yang digunakan itu nanti benar-benar kekal dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
Khalid turut menyentuh tentang arahan SPR pada pilihana raya umum 2004 lalu, yang mana tidak membenarkan pondok panas dibuka pada hari pengundian.
Tetapi, pada saat-saat akhir, SPR menarik balik arahan tersebut yang dipercayai dipengaruhi oleh tekanan-tekanan daripada Barisan Nasional (BN). - mk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment