Thursday, August 23, 2007

Kes AKSB: Tindakan BPR dedah maklumat dalam media menghairankan

Intan Abdullah Thu Aug 23, 07 02:27:24 PM
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Hrkh) - Ahli Perlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar melahirkan rasa hairan dan terkejut dengan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dianggap berbeza dalam menangani kes Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berbanding kes-kes lain terutamanya yang membabitkan kes berprofil tinggi.
Kelmarin, akhbar Berita Harian melaporkan BPR menyiasat AKSB berhubung penyelewengan projek membaik pulih infrastruktur bekalan air pada tujuh daerah Kelantan yang membabitkan kos RM600 juta.
Siasatan dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan digunakan bagi kerja membaik pulih paip lama dan menaik taraf loji bekalan air di negeri itu, tidak mengikut spesifikasi.
"Saya berasa sangat hairan bagaimana BPR boleh membuat penjelasan secara terperinci dalam media sedangkan sebelum ini di Parlimen, apabila persoalan mengenai kes-kes siasatan BPR dikemukakan maka jawapan yang akan diberikan adalah maklumat itu sulit atau ia masih berada dalam siasatan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, menteri yang berkaitan berdolak dalih dengan pelbagai alasan seolah-olah ingin menutup aib pihak tertentu.
"Tetapi kenapa kali ini dalam membicarakan kes pengurusan air Kelantan, ia diumumkan kepada khalayak tidak seperti kes-kes sebelum ini? Kamaruddin mempersoalkan tindakan BPR dalam kes ini.
"Saya mendesak supaya tindakan BPR dalam menjalankan siasatan dalam kes-kes yang membabitkan rasuah tidak ditekan atau dipengaruhi oleh mana-mana parti politik," tegasnya lagi.
Beliau mengingatkan BPR supaya keputusan kes ini kelak tidak akan dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan juga tidak dengan maksud untuk menjatuhkan mana-mana individu mahupun parti politik.
Kamaruddin yang juga merupakan Setiausahan Agung PAS mengulas siasatan awal BPR terhadap AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur bekalan air tertumpu kepada pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Merbau Chondong, Machang yang bernilai RM65 juta.
Sumber badan itu dipetik sebagai berkata, pegawai BPR sudah mula memeriksa dan mengambil dokumen berkaitan projek berkenaan di pejabat AKSB, di Kota Bharu serta syarikat yang diberi kontrak melaksanakannya, Rabu lalu. - mns

No comments: