Wan Nordin Wan Yaacob Fri Aug 03, 07 09:34:12 AM
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Hrkh) - Arahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua Menteri, Timbalan dan Setiausaha Parlimen melepaskan jawatan dalam persatuan sukan tidak mendatangkan kesan kepada pembangunan persatuan memandangkan beliau tidak mengarahkan golongan politik lain seperti Ketua Menteri dan Menteri Besar berbuat demikian.
Sementara PM pula dilihat hanya mengeluarkan kenyataan sahaja sedangkan peningkatan mutu kerjanya tidak boleh dijadikan contoh kepada mana menteri kerana sikap orang nombor satu negara itu yang kerap melancong, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini.
Keadaan negara yang tidak menentu juga (seperti keadaan ekonomi yang makin menekan) menuntut Menteri menumpukan lebih masa dalam 'amanah' utama mereka, katanya.
Tiada siapa boleh hormat Abdullah!
"Cuma dari segi ini (menumpukan kerja) Abdullah seharusnya mampu memberikan contoh yang lebih baik dan kurangkan melancong ke luar negara,"tegasnya.
"Satu lagi persoalan yang timbul hampir semua pertubuhan sukan diterjui oleh orang politik dan kini siapa yang 'boleh' menghormati Abdullah dengan mengosongkan kerusi mereka dalam badan sukan tersebut?,"katanya.
Mengulas lanjut katanya perkembangan ini membawa amat mengecewakan dan anti klimaks.
"Ia tidak membawa erti apa-apa. Badan sukan akan terus menjadi bahan politik,"tegasnya.
Keputusan tidak konsisten
Badrul Hisham melihat, perkembangan ini membuktikan betapa tidak konsistenya Perdana Menteri dalam membuat keputusan dan gagal mempertahankan keputusannya.
"Baru semalam saya mengulas dan menyatakan sokongan terhadap arahan Perdana Menteri melarang Menteri dari memegang jawatan dalam badan sukan (berdasarkan Bernama).
"Ia mungkin satu revolusi kecil dalam dunia sukan tanahair, tetapi hari ini saya amat kecewa apabila selepas mesyuarat kabinet PM gagal mempertahan keputusanya,"katanya.
Terdahulu dalam satu ulasannya terhadap keputusan PM itu Badrul Hisham berkata, di Malaysia hampir semua ruang dipolitikkan termasuk badan sukan.
"Kehadiran ahli politik khususnya Menteri di dalam badan sukan dihujahkan kononya mampu memudahkan badan sukan itu bergerak khususnya mendapat bantuan kewangan,"tegasnya.
Ini satu bukti bahawa secara tidak langsung badan sukan tersebut juga menjadi bahan politik, katanya.
Pembahagian peruntukan dari kerajaan dan korporat seharusnya berdasarkan pencapaian badan sukan bukan kehadiran ahli politik dalam badan sukan tertentu, katanya.
Badan sukan jadi bahan politik
Kehadiran ahli politik dalam badan sukan juga kadang kala mengheret badan sukan tersebut dalam kancah politik, ujarnya.
"Bayangkan jika ahli politik tersebut kalah atau disingkirkan dari jawatan politiknya sudah tentu badan sukan yang diterajuinya dipinggirkan atau mengundang kemelut perebutan jawatan dalaman kerana beliau sudah tidak laku lagi,"tegasnya.
Sudah tiba masanya semua badan sukan negara dibebaskan dari pengaruh 'politik', serahkan pengurusan badan sukan kepada mereka yang benar layak, iaitu dari kelompok orang sukan sendiri, katanya.
Kementerian yang bertanggungjawab pula seharusnya memperkasakan mereka ini dengan kemahiran pengurusan dan seumpamanya. Lulusan Sains Sukan dari institusi dalam dan luar negara yang makin bertambah bilanganya harus diberikan perhatian juga, katanya.
Lepas jawatan!
Perdana Menteri dalam satu laporan akhbar 1 Ogos lalu telah mengeluarkan arahan melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said berkata, larangan itu yang tidak melibatkan Menteri Besar serta Ketua Menteri dibuat oleh Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini dan ia berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, arahan itu dibuat Abdullah kerana mahu barisan Kabinet memberikan sepenuh perhatian kepada tugas di kementerian masing-masing.
‘‘Keputusan ini dibuat Perdana Menteri selepas berbincang dengan menteri Kabinet. Bagaimanapun menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen masih dibenarkan memegang jawatan bukan eksekutif seperti penasihat atau penaung kepada persatuan sukan yang mereka sertai,” katanya.
Antara menteri yang menjawat jawatan dalam persatuan sukan ialah Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Chan Kong Choy sebagai Presiden Persatuan Pingpong Malaysia dan Menteri Sumber Manusia, Dato' Seri Dr. Fong Chan Onn (Presiden Persekutuan Amatur Bina Badan Malaysia) manakala Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Anifah Aman ialah Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.
Menurut Azalina lagi, ketiadaan menteri, timbalan menteri atau setiausaha Parlimen dalam persatuan sukan tidak semestinya akan menjejaskan kemantapan persatuan sukan seperti yang telah dibuktikan dalam skuasy, badminton dan tenpin boling
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment