Mohd Sabri Said Thu Aug 23, 07 12:03:25 PM
GEORGETOWN, 23 Ogos (Hrkh) - Koordinator Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Badrul Hisyam Shahrin memberi amaran kepada Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mempercepatkan tindakan membenteras gejala rasuah di kalangan menteri yang semakin menjadi-jadi.
Jelasnya, gejala rasuah yang menjadi musuh nombor satu negara sekarang harus dihalang bagi membersihkan negara sekali gus meningkatkan kewibawaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dianggap paling bertamadhun.
"Gerak memberi amaran kepada kerajaan agar menangani segera musuh nombor satu negara supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan selesa bila urus tadbir negara disusun dengan semperna dan adil," terangnya ketika mengiringi ekspedisi solo Gerak, Zainudin Ghazali bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di aras 28 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) petang kelmarin.
Beliau hairan sejak kebelakangan ini agenda membenteras rasuah sudah tiada dalam tindakan Perdana Menteri berbanding sejak awal memegang tampuk pemerintahan.
Seolah-olah tindakanya selama ini dihantui oleh seseorang yang bertindak sebagai perancang, sekali pun tahu ada banyak laporan mengenainya diadukan.
"Rasuah bukan sahaja bermaharajalela di kalangan orang politik BN sahaja bahkan pengurusan sukan, pasukan keselamatan dan sebagainya. Habis semua rosak disebabkan rasuah," ujarnya lagi.
Sekarang ini menjelang sambutan kemerdekaan yang 50 tahun merupakan langkah terbaik kerajaan mengisytiharkan 'rasuah musuh nombor satu negara' bukannya dadah sebagaimana yang difahami sekarang.
Rakyat sudah muak dengan pulut kuning berjalur terpanjang, jalur gemilang terbesar atau berbagai usaha megah menyambut kemerdekaan sebaliknya mahu melihat mutu pentadbiran negara bertambah baik.
"Bukan masanya hendak bermegah dengan segala usaha seperti mencipta pulut kuning terpanjang, bendera terbesar dan seumpamanya tanpa memerdekakan negara dari unsur rasuah kerana rasuah pemusnah kepimpinan yang ada," kata beliau lagi.
Hadir sama mengiringi ekspedisi solo Gerak ialah Ketua Bahagian Keadilan Kepala Batas, Amizudin Ahmat, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Jelutong, Fariz Mohd Yusuf dan Timbalan Yang DiPertua PAS Jelutong, Mohd Yusuf Mohd Noor. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment