Ismail Hashim Thu Aug 16, 07 12:54:37 PM
KUALA PILAH, 16 Ogos – Seluruh rakyat Malaysia harus segera bangkit menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan politik negara kerana perkembangan mutakhir menuju ke arah 'menang sorak kampung tergadai'.
Inilah masa terbaik untuk rakyat membuat perubahan dengan menyelamatkan Malaysia dari terus diperlakukan oleh mereka yang hanya inginkan kemajuan dan pembangunan tetapi merugikan negara.
Tempoh ini adalah bersesuaian dengan detik dan semangat negara menyambut hari kemerdekaan ke 50 pada 31 Ogos depan dan terus menterjemahkan tindakan itu di dalam pilihan raya umum ke 12 nanti.
Ingatan tersebut dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis ceramah di Dataran Haji Aziz Dato' Bentara Kanan Haji Maarof, Kampung Dioh Tengah, dekat sini malam tadi.
"Kita amat bimbang orang Melayu khususnya akan menjadi seperti helikopter Nuri yang negara miliki tetapi timbul kebimbangan menggunakannya ekoran selalu sahaja terhempas dan membunuh semua pegawai tentera dan anak kapal"
"Sebut sahaja Nuri, orang terus bertanya boleh pakai atau tidak, kita tidak mahu orang Melayu akan jadi begitu, dipersendakan orang, boleh pakai atau tidak, malah hanya layak dinilai dengan timbang kilo sahaja," tegasnya lagi.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, PAS tidak mahu orang Melayu jadi seperti tahap bolasepak negara yang dulu sangat dihormati tetapi kini langsung tidak dipandang orang.
Katanya, jika dulu bolasepak negara setaraf dengan pasukan Korea dan Jepun, kerana takut melakukan perubahan Malaysia berada di tangga 187 di peringkat dunia sedangkan dua pasukan tadi terus unggul di persada antarabangsa.
Beliau menegaskan, kerana takut melakukan perubahan ke arah terbaik menyebabkan keadaan politik negara terus menjunam sehingga bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir sendiri dengan jelas menyatakan rakyat perlu menolak kerajaan di bawah Barisan Nasional sekarang.
Sementara itu, Salahudin menjelaskan kehadirannya di dalam Majlis Syarahan Perdana Tun Mahathir di Yayasan Perdana pada 15 Ogos, semalam untuk mendengar sendiri hujah-hujah bekas pemimpin utama Umno itu.
Tegasnya, beliau terpegun dengan kenyataan Tun Mahathir yang dengan jelas meminta rakyat menolak kepimpinan PM sekarang yang dipilihnya sendiri kerana tidak bersetuju dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang akan menjual negara kepada rakyat negara asing secara terhormat.
Turut menyampaikan ceramah pada malam itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Muhammad Omar, YDP PAS Kuala Pilah dan Timbalannya, Abdul Aziz Isa dan Zaharuddin Osman.
Sebelum itu pada sebelah petangnya, beliau telah bersama-sama dengan pimpinan PAS Negeri Sembilan sempat meninjau permasalahan masyarakat Cina yang selama 40 tahun terbengkalai di Kampung Abok, Seremban. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment