Friday, August 3, 2007

PAS Wilayah tanding lima kerusi Parlimen

Harakahdaily Fri Aug 03, 07 05:38:56 PM
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan telah memutuskan untuk bertanding lima kawasan di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Lima kawasan tersebut ialah Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Putrajaya dan Labuan.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin kepada semua media.
Katanya, pengumuman lima kawasan untuk ditandingi itu telah diumumkan oleh beliau dalam ucapannya mewakili Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan pada Muktamar PAS Ke-52, di Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, seluruh jentera pilihan raya ke lima-lima kawasan telah diaktifkan dan JPN amat berpuashati dengan persiapan PAS Kawasan dan jentera pilihan rayanya disamping moral ahli-ahli yang begitu tinggi dan komited.
“Rombongan JPN telahpun melawat dan meninjau semua kawasan yang akan ditandingi itu bagi memastikan jentera pilihan raya dan moral ahli-ahli PAS di kawasan-kawasan tersebut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” tegas beliau.
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan juga, katanya, telah menyerahkan senarai calon-calon yang bertaraf nasional kepada PAS Pusat untuk pertimbangan bagi mengisi ke lima-lima kawasan tersebut.
JPN telah turun padang dan melawat kawasan-kawasan berkenaan dan amat berpuashati dengan persiapan serta gerakerja pilihan raya yang cukup mantap ditampilkan kali ini oleh seluruh ahli.
“Kawasan yang tidak bertanding, telah bersepakat untuk membantu lima kawasan yang akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini. Ia merupakan komitmen mantap yang pernah ditunjukkan bagi merealisasikan hasrat PAS Wilayah untuk memenangi beberapa kerusi dalam pilihan kali ini,” tegas Haji Ishak. - mks

No comments: