Tuesday, August 14, 2007

Tragedi ngeri didakwa ada kaitan kelemahan JPJ, Polis, Jabatan Perlesenan

Oleh Saidah Hairan
Tue Aug 14, 07 02:58:59 PM
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Hrkh) - Kelemahan dan kecuaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan bertindak tegas terhadap syarikat dan pemandu bas yang melanggar peraturan jalan menyebabkan ramai penumpang tidak bersalah terbabit dalam nahas.
Dalam satu nahas ngeri 4.28 pagi Isnin lalu, 20 penumpang maut, lapan cedera parah dan seorang cedera ringan apabila sebuah bas ekspres berusia 20 tahun yang mereka naiki terhumban ke gaung sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang.
Berhubung tragedi itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berpendapat, kejadian itu disebabkan kelemahan dan kecuaian JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap pemandu dan syarikat bas Super Ekspres.
Ini kerana katanya, kesalahan pemandu bas, Rohizan Abu Bakar, 38, yang terbunuh mempunyai 15 saman termasuk dua waran tangkap. Beliau bertanya kenapa pemandu bas tidak diambil tindakan sedangkan beliau mempunyai banyak saman manakala bas itu sudah melebihi had tempoh hayat sesebuah bas ekspres iaitu 10 tahun.
Menurut beliau, bukankah tragedi ngeri seperti itu boleh dielakkan walaupun itu takdir Allah tetapi itu boleh dielakkan kalau JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan melaksanakan tugas dengan baik bagi mengatasi masalah-masalah khususnya menyelamatkan mangsa.
Beliau menegaskan, sepatutnya jabatan-jabatan berkenaan telah mengenakan tindakan terhadap syarikat bas seperti Super Ekspres yang telah mengubah laluan sebanyak 70 kali serta kesilapan pemandunya.
"Lembaga Perlesenan boleh tarik lesen pemandu bas dan permit syarikat bas tersebut melalui maklumat daripada pihak JPJ bahawa syarikat bas tersebut tidak mengikut syarat dan sebagainya," tegas beliau.
Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah menegaskan, selagi kelemahan dan kecuaian JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan tidak diatasi maka selama itulah nasib pengguna bas seolah-olah `telur di hujung tanduk'.
Katanya, alasan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengatakan jalan di Bukit Gantang selamat dilalui kerana jalannya lurus.
Oleh itu tambah beliau, jabatan-jabatan berkenaan perlu memberi sebab mengapa tindakan tegas tidak diambil terhadap syarikat Super Ekspres dan pemandu bas tersebut.
Katanya, Menteri Pengangkutan yang menjaga JPJ dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang menjaga polis mesti dipersalahkan kerana pihak berkenaan gagal mengambil tindakan.
Selain itu kata beliau, syarikat bas tidak boleh lepas tangan hanya mahu mengambil keuntungan besar tetapi tidak prihatin dengan keselamatan pengguna bas.
Mahfuz yang sering menggunakan perkhidmatan bas `Mara Liner' memuji pemandu bas dan syarikat tersebut kerana sebelum memulakan perjalanan pemandu membaca doa perjalanan yang didengari semua penumpang.
Ini katanya, menggambarkan pemandu dan syarikat bas itu sangat mengambil berat soal keselamatan penumpang.
Beliau mencadangkan supaya JPJ, Polis dan Lembaga Perlesenan mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap bas yang melakukan perjalanan jauh kerana kebanyakan bas tidak mempunyai pemandu gantian.
Katanya, pemandu gantian amat diperlukan kerana faktor keletihan menyumbangkan pada kemalangan.
Bas yang terbabit dalam nahas itu membawa 29 penumpang, dalam perjalanan dari Melaka menuju Butterworth.
Bas Super Ekspres itu digunakan sejak 1987 telah gagal empat kali pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd baru-baru ini kerana masalah brek, pernah disaman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan JPJ sejak lima tahun lalu.

1 comment:

Long said...

memang lemah.... rasuah sana sini... aku sangat2 bengang dengan lpkp... dengan orang ramai dicanangnya stiker suruh call atau sms... aku penah bagi sms sampai dua kali.. komplen driver bas kat telok gong port klang main suka2 berenti nak balik rumah mengular... sampai aku nak terlanggar bas tu.... tapi tindakan tak ambil jugak... keluar dalam paper lpkp cakap dia tak boleh buat apa2 sebab yang berkuasa adalah jpj... habis tu suruh orang buat aduan kat dia nak buat apa? dah la satu sms kena caj 50sen... barua betul....