Wednesday, April 23, 2008

Usaha pemantapan PAS pasca PRU diperkasakan - SU Agung PAS

Intan Abdullah Thu Apr 24, 08 01:00:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - PAS kini masih berada dalam kerangka memperkasakan parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.
Dengan kemenangan menerajui lima buah negeri oleh Pakatan Rakyat, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata PAS telah mengadakan banyak program termasuklah menguruskan negeri-negeri yang baru dikuasai Pakatan Rakyat.
"Kita sedang memantau, menasihat dan sama-sama membuat keputusan terhadap urusan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri tersebut," katanya.
Menurutnya, PAS mempunyai peranan besar di Kedah, Perak dan Selangor bahkan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Kita juga baru sahaja menganjurkan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat, dan membuat pertemuan wakil-wakil rakyat PAS di samping berbincang dengan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin," ujarnya.
PAS juga katanya, menubuhkan sebuah panel penasihat kerajaan negeri di bawah jawatankuasa PAS yang dipengerusikan AJK PAS Pusat, Dato' Wan Mutalib Embong.
Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan bahawa pimpinan PAS tetap memberikan tumpuan yang lebih kepada memperkasakan parti tersebut. "Keseriusan pimpinan terhadap hal ini terbukti dengan penganjuran Dialog Ahli Majlis Syura Ulama' dan ahli jawatankuasa PAS Pusat yang bertemakan Perlaksanaan Dasar Parti Pasca Pilihan Raya Umum ke-12," katanya lagi.
Tambahnya, ia sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa parti tersebut semakin diabaikan selepas ramai pimpinan parti tersebut disibukkan dengan tugas rasmi sebagai wakil rakyat.
"Buktinya, ahli-ahli Parlimen PAS merupakan yang pertama menghantar soalan jawab lisan bagi sidang parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi berbanding parti lain," ujarnya lagi.
Pada masa yang sama juga beliau turut mengulas fenomena penyertaan PAS secara berduyun-duyun di beberapa buah negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
"Kita melihat perkembangan yang sangat baik, sehingga menyebabkan borang keahlian PAS habis di beberapa buah negeri berikutan sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Bagaimanapun, saya menyeru kepada petugas PAS di semua peringkat agar memproses keahlian dengan kadar yang segera kerana terdapat rungutan sesetengah daripada pemohon terhadap kelambatan memproses keahlian," tegasnya.
Ketika ditanya mengenai undi Melayu pada pilihan raya umum lalu yang masih didominasi Umno, Kamaruddin menafikan kenyataan tersebut dengan membawakan fakta analisis bahawa pembangkang telah berjaya memperolehi 50 peratus daripada undi Melayu.
"Berdasarkan analisis keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan undi Melayu masih berpihak kepada pembangkang di kawasan bandar.
"Namun begitu, di luar bandar undi wanita masih berpihak kepada BN," katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada pimpinan PAS agar terus memperkuatkan jentera parti bagi mendekati wanita terutamanya golongan belia wanita supaya mereka dapat menerima maklumat yang tepat dan benar mengenai perjuangan PAS.
Dalam perkembangan yang sama, Kamaruddin juga memaklumkan bahawa seluruh peringkat parti sedang menjalani proses mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi menghadapi muktamar yang akan diadakan pada Ogos akan datang.
"Ia telah bermula seawal Januari lalu, namun ia terhenti seketika bagi menumpukan gerak kerja pilihan raya umum," katanya.
Beliau masih belum dapat memastikan lokasi perhimpunan tahunan pimpinan dan ahli PAS itu setakat ini.
"Kita belum memutuskan sama ada di Perak atau Selangor, namun mesyuarat di semua peringkat telah dan sedang berlangsung ketika ini," katanya. - mr

No comments: