Monday, April 14, 2008

Permuafakatan Melayu penting, perpaduan kaum tetap agenda utama

Mohd Rashidi Hassan Tue Apr 15, 08 11:56:01 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Apr (Hrkh) - PAS pada dasarnya bersetuju dengan perjuangan untuk memelihara kepentingan Melayu, tetapi ianya tidak boleh dijadikan satu sentimen perkauman semata-mata, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Katanya, apa yang penting bagi PAS, ialah perpaduan antara kaum dilihat dari dimensi yang lebih luas agar semua kepentingan kaum dan agama tetap menjadi agenda utama untuk dipelihara.
Menurut beliau, PAS sememangnya bersetuju dengan cadangan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dato' Norza Zakaria tentang perlunya permuafakatan diadakan antara PAS, Umno dan KeADILan yang boleh membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.
"Kita bersetuju dengan permuafakatan, malah PAS sedia berbincang secara terbuka dengan Umno tentang apa jua persoalan yang berkait dengan kepentingan negara, kebajikan rakyat, termasuk soal kepentingan Melayu dan Islam, ini memang kita bersedia.
"Cadangan PAS ini telah kita kemukakan banyak kali, termasuk penghantaran surat rasmi PAS kepada Umno untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Menurut Salahuddin, sikap ini menunjukkan bahawa PAS sepanjang masa sentiasa bersifat terbuka dan sedia berbincang pada bila-bila masa.
Tetapi malangnya kata beliau, sewaktu Umno berada di kemuncak kuasa, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke 2004, Umno langsung tidak mahu melayan pelawaan PAS.
"Persoalannya pada saya, isu Melayu dan Islam mungkin tidak akan dapat diselesaikan secara bijak apabila Umno masih berada dalam keadaan tidak stabil dan terdesak seperti hari ini," tegas beliau.
Katanya, sekiranya Umno lebih terbuka sejak awal lagi (sebelum PRU), untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, keadaan seperti sekarang tidak akan berlaku.
"Contohnya, banyak pandangan yang dikemukakan oleh Kongres Kepentingan Bangsa dipandang sepi oleh Umno waktu itu.
"Malah media arus perdana, khususnya akhbar berbahasa Melayu, tidak memberikan ruang yang sewajarnya untuk kongres mengemukakan pandangan mereka," ujarnya kesal.

1 comment:

OLED said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the OLED, I hope you enjoy. The address is http://oled-brasil.blogspot.com. A hug.