Harakahdaily Mon Apr 14, 08 3:50:55 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 April (Hrkh) - KeADILan akan meneruskan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit. -->-->
Program yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Sementara itu, laman Malaysikini dimaklumkan oleh Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali bahawa, program itu kekal seperti telah dijadualkan dan menafikan ia dipindahkan ke Shah Alam.
Malaysiakini difahamkan polis menjalankan sekatan jalan raya di sekitar tempat tersebut.
Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar itu dijangka disertai lebih 10,000 penyokongnya.
'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.
Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong KeADILan.
Ketua polis Kuala Lumpur, Dato' Muhammad Sabtu Osman semalam berkata KeADILan tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.
Parti itu, tambahnya, hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai majlis makan malam pemimpin KeADILan bersama rakyat.
Beliau berkata polis menerima surat mengenai majlis makan malam itu bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno - kini dipengerusikan oleh Abdul Khalid, selaku menteri besar baru negeri Selangor.
Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.
"Sekiranya mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada media semalam. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment