Tuesday, April 8, 2008

MB Kedah minta Karpal tutup mulut

Azamin Amin Wed Apr 09, 08 11:35:23 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Polemik sensitif yang berlanjutan berikutan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh tentang negara Islam telah mengundang balas daripada Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menyanggah kata-kata beliau sebelum ini.
Malah Ustaz Azizan menyifatkan Karpal tiada pemahaman jelas berhubung isu tersebut sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan ramai di samping mendapat teguran daripada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Menurut laporan, Azizan meminta Pengerusi DAP Karpal Singh menutup mulut dan berhenti bercakap tentang PAS dan kaitan dengan negara Islam sebaliknya harus memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar yang boleh dibincangkan di antara PAS dan DAP.
"Saya rasa perkara terbaik adalah dia berhenti bercakap tentang perkara tersebut.
"Banyak lagi isu-isu lain yang lebih besar untuk diperkatakan,"kata Azizan yang dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.
Beliau berkata Karpal bebas untuk menyatakan pendapatnya dan tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya.
"Kita juga tidak katakan kepada Karpal supaya jangan menentang usaha-usaha PAS untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negera Islam,
"Karpal ada pandangannya terhadap hudud, tetapi ada juga pendapat lain tentang undang-undang Syariah.
"Sebenarnya dia bukan sahaja kurang faham tentang perkara tersebut, bahkan dia tak faham langsung," kata Ustaz Azizan.
Beliau berkata, kerajaan Kedah yang diketuai oleh PAS tidak pernah berbincang tentang pelaksanaan hudud di Kedah sebab ia tidak termasuk di dalam manifesto PAS Kedah dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Mereka yang takut kepada hudud adalah perompak dan barang siapa yang tidak mencuri atau merompak, tidak takut kepada perlaksanaan Hudud," katanya. - mks.

No comments: