Wednesday, April 2, 2008

Rakyat mahu Pakatan Rakyat bekerjasama dengan baik

Salmiyah Harun Thu Apr 03, 08 9:45:03 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP yang menyatakan persetujuan untuk membentuk Pakatan Rakyat perlu ada sifat berlapang dada di kesemua peringkat parti supaya mereka boleh bekerja dengan baik. -->-->
Menurut Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid, prinsip utama ketiga-tiga parti itu harus dipertahankan seperti soal urus tadbir yang bersih, adil dan telus.
Katanya, tiga parti itu harus ingat terbentuknya Pakatan Rakyat itu adalah satu tanda harapan rakyat kepada mereka setelah diberi kemenangan selesa dalam pilihan raya lalu.
"Dalam pilihan raya lalu bukanlah satu amarah rakyat kepada BN tetapi tanda harapan mereka kepada Pakatan Rakyat yang baru dibentuk, harapan itu adalah untuk mereka mengulangi asas pakatan itu seeprti keadilan, ketelusan dan merealisasikan kebajikan rakyat," katanya semasa dihubungi.
Tegasnya, rakyat juga menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat ini benar-benar menunjukkan contoh yang baik selepas 50 tahun negara ini merdeka.
"Hari ini dengan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat mungkin akan menjadi lebih mantap kerana di zaman ini rakyat berupaya memperoleh maklumat dan semakin matang dalam membuat urusan," katanya.
Azmi juga berkata, Pakatan Rakyat hendaklah merebut ruang yang ada ini untuk menjadi model baru dan lebih baik daripada BN.
Malahan katanya, ketiga-tiga parti itu telah menguasai lima negeri dan mempunyai kesempatan untuk menggunakan kemampuan serta kelebihan mentadbir dengan membuka ruang untuk bekerjasama sebagai kerajaan.
Bagaimanapun, beliau juga yakin dengan gabungan ini PAS tidak akan berganjak daripada dasarnya seterusnya akan lebih menumpukan kepada bagaimana hendak menterjemahkan prinsip yang diamalkan dalam Negara Islam.
"Saya kira keadaan ini selari dengan maksud sebuah Negara Islam yang ada, PAS kena tekankan apa isinya yang ada dalam Negara Islam dan Negara Berkebajikan," katanya.

No comments: