Sunday, April 6, 2008

Serahkan jawatan Speaker atau Timbalan kepada Pakatan Rakyat

Tarmizi Mohd Jam Sun Apr 06, 08 12:01:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar jawatan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat (Speaker) diberi kepada mana-mana Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat untuk diisi bagi meningkatkan peranan dewan tersebut demi kepentingan rakyat.
Ketika menegaskan perkara ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah, Cikgu Ishak Surin berkata, hasrat ini penting kerana sepanjang jawatan itu disandang oleh wakil BN, kepentingan rakyat dipinggirkan apabila suara itu dilaungkan oleh wakil-wakil rakyat parti pembangkang.
Beliau menyokong penuh langkah Pakatan Rakyat mengemukakan calon bagi melantik Speaker dan Timbalannya di kalangan Pakatan Rakyat.
Ishak benar-benar kesal dengan sikap semua speaker dan timbalan speaker selama ini yang sering menolak dan tidak mengindahkan usul-usul tergempar pihak pembangkang untuk dibahaskan.
Sebaliknya, apa sahaja usul dari pihak BN diutamakan demi untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukannya untuk kepentingan rakyat.
Cikgu Ishak menyifatkan speaker dan timbalannya yang dilantik oleh BN selama ini sebagai tidak telus, tidak profesional dan berat sebelah.
"Ini sebenarnya tidak menguntungkan rakyat. Sebaliknya ia menjadi speaker, timbalan speaker yang memihak kepada BN atas apa sahaja isu dan kepentingan. Mereka tidak adil," tegas beliau ketika ditemui.
Beliau berharap pelantikan speaker dan timbalannya perlu mengikuti proses secara demokrasi dengan mendapat persetujuan serta sokongan 88 orang Ahli Parlimen di kalangan Pakatan Rakyat.
Pelantikan tersebut juga, tegasnya, harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen di kalangan pihak kerajaan bagi mendapat sokongan majoriti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah PRU 12 itu berharap, hasrat tersebut akan menjadi kenyataan bagi membuka lipatan sejarah baru Dewan Rakyat di negara ini. - mns

No comments: