Salmah Mat Husain Mon Apr 14, 08 3:49:26 pm MYT
KOTA BHARU, 14 April (Hrkh) - Kerajaan Pusat diminta adil terhadap kesemua negeri yang diterajui pembangkang termasuk Kelantan dalam semua urusan termasuk menjemput wakil dari setiap negeri menghadiri mesyuarat khususnya berhubung keselamatan negeri.
Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, Kerajaan Pusat tidak sewajarnya 'mendendami' negeri-negeri yang ditadbir pembangkang sehinggakan Menteri Besarnya selaku Pengerusi Keselamatan Negeri tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat di peringkat Pusat sebagaimana lazimnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan taklimat kepada 350 orang rombongan pelawat dari Terengganu dan Kedah yang diadakan di sini baru-baru ini.
Jelasnya, zaman kezaliman Kerajaan Pusat sebenarnya sudah berlalu kerana bukan sahaja Kelantan ditadbir oleh pembangkang, namun empat negeri lagi turut menjadi 'sahabat' Negeri Serambi Mekah itu.
Sambungnya, sekiranya Kerajaan Pusat masih bertindak sedemikian, nasib malang akan lebih menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang kini masih menerajui kepimpinan Negara.
"Saya berharap Kerajaan Pusat menjemput sama Menteri Besar atau Ketua Menteri menghadiri apa sahaja mesyuarat yang berkaitan dengan Kerajaan Pusat.
"Jangan sekali-kali meminggirkan negeri-negeri tersebut sebagaimana Kelantan di mana Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dijemput oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed," ujarnya.
Katanya, mesyuarat bersama khususnya berhubung keselamatan dalam negeri amat penting kerana ianya dapat membentuk gerak kerja yang bersepadu khususnya dalam menjaga keselamatan di setiap negeri.
Dalam ucapannya itu juga, Abdul Rahman tidak menafikan Kelantan mengulangi sejarah kegemilangannya dalam menerima kedatangan pelancong seawal kemenangannya selepas Pilihan raya Umum Ke-12 baru-baru ini.
Katanya, Kelantan masih menjadi pilihan pelancong untuk dilawati walaupun terdapat empat negeri lagi yang baru dimenangi oleh pembangkang.
Katanya, setiap minggu Kelantan menerima kunjungan pelancong yang menghubungi sendiri Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
"Kekerapan ini tidak termasuk yang datang secara persendirian sama ada menaiki bas pelancongan, individu atau melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC)," ujarnya. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment