Wednesday, April 2, 2008

Mufti Perak gesa pendakwah Islam bangkit tentang filem Fitna

Intan Abdullah Thu Apr 03, 08 9:38:03 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Para pendakwah Islam digesa bangkit untuk menjelaskan kekeliruan berhubung filem pendek 'Fitna' yang ditayangkan menerusi internet sejak 27 Mac lalu.
Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria berkata adalah menjadi tanggungjawab kepada pendakwah Islam untuk menjawab segala fitnah yang telah dilemparkan oleh penerbit filem tersebut, Geert Wilders menerusi internet memandangkan ia kini sedang giat ditayangkan melalui medium tersebut.
"Hakikatnya, Geert Wilders itu adalah pihak yang menabur fitnah bukannya Islam yang menjadi fitnah.
"Justeru, para ilmuan dan pendakwah Islam hendaklah berganding bahu bagi menjelaskan fitnah yang cuba dipalitkan kepada kesucian Islam," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Mufti Perak itu menyatakan bahawa pihak mufti-mufti telah memutuskan pendirian berhubung isu penayangan filem tersebut.
"Kita kesal dengan kerajaan Belanda yang membenarkan filem tersebut ditayangkan meskipun kini mereka mahu mengambil tindakan ke atas Geert.
"Kenapa daripada awal mereka tidak mengambil tindakan yakni mengenakan sekatan ? Kenapa dibiarkan juga mereka meneruskannya, sebab itu kita mengambil keputusan untuk memboikot produk Belanda sebagai protes," katanya.
Filem pendek yang mempunyai dua versi ditayangkan selama 16 minit 48 saat dan 15 minit itu memaparkan beberapa potong ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai konsep jihad dan peperangan dalam Islam.
"Malangnya ia telah disalah tafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. saya sangsi mengenai niat sebenar ianya dibuat kerana ia tidak mengambil ayat-ayat sebelum dan selepasnya yang menjelaskan apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan," ujarnya lagi.
Jelasnya, setiap ayat al-Quran mempunyai perkaitan antara satu sama lain yakni terdapat hubungkait antara ayat yang sebelum dan selepasnya.
"Begitu juga dengan perintah berjihad dan memerangi orang kafir yang mempunyai ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran sekaligus ia turut memiliki sebab penurunan ayat tersebut yang dipanggil asbabun nuzul," katanya lagi.
Beliau mengecam sekeras-kerasnya pihak pengeluar filem pendek tersebut yang seolah-olah mahu menuduh Islam menganjurkan kekerasan dan menggalakkan keganasan menerusi peperangan dan pembunuhan secara tidak berperikemanusiaan.
"Padahal dalam ayat yang sebelumnya menceritakan mengenai orang-orang yang memusuhi dan memerangi orang Islam, tetapi mereka tidak mengambil ayat tersebut.
"Ini jelas mengeluarkan mengelirukan dan memfitnah Islam dengan menggunakan kitab suci ajarannya," ujarnya.
Tambahnya, penghasilan Fitna adalah gambaran kepada keadaan orang Barat yang semakin takut dengan perkembangan ajaran Islam yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat di banyak negara.
"Bahkan hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas penulis buku 'satanic verse' adalah setimpal dengan kesalahan pendakyah Islam kerana ia telah memfitnah Islam.
"Kerana Allah telah berfirman bahawa sesungguhnya fitnah itu adakah lebih dahsyat daripada membunuh.
"Jadi, tidak hairanlah jika sekiranya ada pihak yang mendesak supaya Geert dijatuhkan hukuman bunuh," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor berkata isu ini adalah isu bersifat individu dan bukan kolektif yakni negara.
"Ini bukan isu berbentuk 'state terrorisme' tetapi 'individual terrorisme' yakni Geert Wilders yang mahu meraih populariti dan keuntungan," katanya.
Katanya, pemuda PAS menentang keras tindakan Geert tersebut kerana ia melibatkan soal maruah nabi dan umat Islam itu secara umumnya.
"Kita masih merancang untuk membuat bantahan secara besar-besaran di samping memboikot produk keluaran negara tersebut untuk memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak merendah-rendahkan Islam dan penganutnya," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kes yang hampir sama pernah terjadi sebelum ini yang mengaitkan beberapa individu seperti Tasleema Nasir, Haidar bin Haidar dan salman Rushdie yang telah menerima hukuman mati akibat menghina agama Islam.
Pada 30 Mac lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebuah filem Belanda terbitan Geert Wilders bertajuk 'Fitna' yang jelas memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.
Filem tersebut turut menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang ganas, ujarnya dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbarnya, Roslan Shahir Mohd Shahir semalam.
Dalam kenyataan tersebut, beliau merasakan filem yang tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dunia dan dengan itu mengesyorkan agar ianya tidak ditayangkan lagi.
Justeru, beliau menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini dan meyakinkan dunia Islam bahawa tindakan biadap seumpama ini tidak berulang lagi.
Tambahnya, PAS menghormati kebebasan berkarya, namun ia perlu ada had dan batasan, dan dalam hal filem Belanda ini ia ternyata tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan penganutnya yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia.
Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengecam tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menyiarkan filem bertajuk 'Fitna' secara online pada 27 Mac lalu.
Filem tersebut dikatakan memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al-Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.
Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub melahirkan kekecewaan kerana apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Belanda itu telah mencetuskan perasaan tidak senang di kalangan umat Islam dan dikhuatiri boleh menimbulkan hubungan yang tidak baik antara umat Islam dan golongan bukan Islam seluruh dunia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Belanda hari ini. Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Kaunselor Kehormat, Luc Schillings, di Lobi bangunan The AmpWalk, Jalan Ampang, pagi tadi.
Sementara itu, Timbalannya, Nasruddin Hassan yang turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut tidak menolak kemungkinan akan mengadakan demonstrasi aman sekiranya kerajaan Belanda tidak menyatakan permohonan maaf.
Beliau juga berkata langkah memboikot barangan daripada Belanda merupakan salah satu langkah memberi tekanan kepada kerajaan Belanda, termasuk menyekat sebarang hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara tersebut.

No comments: