Awang Harun Sat Feb 23, 08 7:32:55 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Hrkh)- PAS serta Barisan Alternatif (BA) mendakwa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan sengaja akan mencari kesilapan teknikal bagi membatalkan kelayakan calon-calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) menjelang hari penamaan calon esok.
Ini kerana, beberapa peraturan baru yang dibuat di saat akhir ini banyak menyusahkan calon-calon yang bakal bertanding.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali berkata, SPR seperti sudah diarah oleh pihak tertentu dengan peraturan yang menyusahkan rakyat dan parti-parti pembangkang.
Katanya, SPR sengaja mahu mencari kesalahan teknikal yang sebelum ini tidak perlu tetapi disyaratkan dalam PRU Ke-12.
"Kita (PAS) mempertikaikan bayaran RM10 untuk duti setem yang dikenakan oleh pihak SPR kepada calon-calon yang hendak bertanding dalam pilihan raya kali ini.
"Kita telah beberapa kali hadapi pilihan raya sebelum ini dan tidak pernah dikenakan peraturan itu," tegasnya.
Katanya, peraturan tersebut mengejutkan banyak pihak dan kemungkinan terdapat calon-calon yang tidak sempat mengangkat sumpah.
Menurutnya, kelewatan pihak SPR memaklumkan peraturan baru tersebut menyusahkan serta menjadi taktik 'kotor' bagi kesilapan teknikal sahaja. - mr/mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment